Program Pelajar Emas – daftar segera!

Admin

GEORGE TOWNWalaupun gagal mendapatkan kerjasama penuh daripada sebahagian sekolah berhubung pendaftaran Program Pelajar Emas, sumbangan RM100 kepada setiap pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 turut akan disempurnakan pada 16 September ini oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, majlis penyampaian sumbangan akan diteruskan walaupun pihaknya terpaksa mengambil inisiatif sendiri melaksanakan pendaftaran melalui pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah memaklumkan kepada semua ADUN berhubung program ini dan borang-borang juga telah diedarkan.

“Justeru, ibu bapa boleh ke pejabat ADUN berdekatan dan masing-masing untuk tujuan pendaftaran bagi mendapatkan wang sumbangan ikhlas bernilai RM100 daripada Kerajaan Negeri kepada anak-anak yang menuntut di Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Program Pelajar Emas adalah lanjutan daripada program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) di sini.

Melalui program tersebut, pelajar yang menuntut di Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 adalah layak memperoleh sumbangan RM100 setiap seorang.

Tambah Boon Poh, pihaknya kini dalam proses mencetak borang pendaftaran baru berhubung pelaksanaan program berkenaan.

“Ini kerana, sebanyak 120,000 borang telah dicetak dan diedarkan kepada semua sekolah di negeri ini pada April lalu, namun, hanya sebahagian kecil yang memulangkan dengan borang pendaftaran lengkap dan selebihnya tidak memberi sebarang maklum balas.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) menyeru supaya borang-borang tersebut dikembalikan semula bagi membolehkan ia digunakan dengan sebaik mungkin,’’ seru beliau.

Katanya lagi, Mesyuarat Exco yang berlangsung pada 15 Ogos lalu turut bersetuju agar peruntukan program bernilai RM11 juta dibawa ke tahun depan (2013) sekiranya ia tidak habis digunakan pada tahun ini.

INFO : PENDAFTARAN PROGRAM PELAJAR EMAS

Borang pendaftaran boleh diperoleh di pejabat ADUN, Ahli Parlimen, Pegawai Penyelaras KADUN & pejabat daerah. (Borang yang lengkap perlu dikembalikan kepada pihak sama).

Syarat-syarat :

Semua pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 & Tingkatan 4.

Anak mestilah seorang warganegara Malaysia.

Ibu atau bapa adalah seorang pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) di negeri Pulau Pinang.

Dokumen-dokumen diperlukan :

Salinan kad pengenalan anak (jika ada).

Salinan sijil kelahiran anak.

Salinan kad pengenalan bapa dan ibu.