Program pembangunan asnaf berjaya lahirkan 68 usahawan – TKM 1

Admin
mohamad abdul hamid MOHAMAD Abdul Hamid semasa membuat sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau PInang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Zakat Pulau Pinang akan terus berusaha melaksanakan program pembangunan sosioekonomi khusus kepada golongan asnaf sehingga mampu mengeluarkan zakat.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, pihaknya akan terus menggalakkan program pembangunan keusahawanan seperti kursus pembuatan kuih tradisional dan pembaikan mesin basuh, dengan penglibatan golongan asnaf.

“Hasilnya, seramai 68 usahawan asnaf telah berjaya membayar zakat – daripada mustahik (orang yang berhak menerima zakat) telah menjadi muzakki (orang yang dikenakan kewajiban membayar zakat) – yang membayar zakat perniagaan keseluruhan berjumlah RM62,401,” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP dalam sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa ketika ini di Pulau Pinang terdapat lapan Pusat Hemodialisis Zakat di bawah kendalian Zakat Pulau Pinang.

“(Sebagai contoh, Pusat Hemodialisis Zakat) Butterworth terus memberikan perkhidmatan rawatan secra percuma kepada 210 pesakit, dengan penambahan 23 mesin dialisis yang baru pada tahun ini, bernilai RM920,000 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan (serta) dengan peruntukan untuk Pusat Hemodialisis Zakat di bawah MAINPP sebanyak RM6.9 juta,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR