Program PEN-MENTOR berjaya tingkat 30 peratus pendapatan peserta

Admin
whatsapp image 2024 05 29 at 10.20.31

GEORGE TOWN – Program PEN-MENTOR (Penang Mentorship) yang diperkenalkan oleh agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berjaya meningkatkan pendapatan peserta secara purata sebanyak 30 peratus.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata program tersebut juga telah berjaya membina kapasiti 291 peserta sejak dilancarkan pada tahun 2021.

“PEN-MENTOR adalah program yang dijenamakan semula daripada Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang (PWEMP) yang menyasarkan meningkat pemilikan perniagaan oleh wanita ke tahap 40 peratus.

“Program ini memfokuskan kepada pemasaran digital, kanvas model perniagaan dan kewangan usahawan wanita dalam kategori kecil atau mikro.

“Untuk makluman, sehingga kini seramai 282 daripada 291 peserta atau bersamaan 97 peratus masih aktif dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Siew Khim berkata, dalam menyahut sasaran Rangka Ekonomi Madani bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus, Kerajaan Negeri sedang berusaha menyediakan taska bersesuaian khusus buat pekerja yang mempunyai anak.

“Salah satu usaha ini adalah dengan meningkatkan jumlah taska di tempat kerja swasta, salah satu contoh adalah pusat jagaan kanak-kanak di Micron Technology di samping sembilan taska yang beroperasi dalam bangunan kerajaan.

“Dengan adanya pusat penjagaan kanak-kanak seperti ini, ia dapat membantu ibu bapa untuk terus bekerja terutamanya dalam situasi ekonomi yang mencabar kini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.

Mengulas cadangan ADUN Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff berkaitan usaha mengurangkan kitaran syif melibatkan wanita, Siew Khim menekankan bahawa peranan wanita perlu dilihat lebih daripada sekadar penjaga.

“Peranan ini sepatutnya dipegang oleh kedua-dua lelaki dan wanita, terutamanya sebagai ibu bapa, bukannya hanya tanggungjawab wanita semata-mata.

“Penjagaan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama, dengan ini adalah amat penting juga untuk menyediakan khidmat sokongan kepada ibu dan bapa yang bekerja,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING