Program Pengalaman Homestay bantu masyarakat desa jana pendapatan

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Sooh Hin berkata bahawa Program Pengalaman Homestay Malaysia dilihat dapat membantu masyarakat desa khususnya golongan wanita untuk meningkatkan pendapatan.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2020, jumlah pendapatan yang dijana oleh peserta program tersebut di negeri ini adalah sebanyak RM64,507.

“Objektif utama pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia adalah untuk memenuhi keperluan dua kumpulan sasar iaitu masyarakat kampung dan pelancong.

“Malah, program ini juga selaras dengan Visi Penang2030 iaitu untuk meningkatkan  meningkatkan kualiti dan taraf hidup wanita kerana kebanyakan yang terlibat dalam perniagaan rumah inap desa adalah golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran Program Pengalaman Homestay Malaysia kepada peserta baharu bagi Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang, di sini pada 17 Oktober lalu.

Hadir sama, Pengarah MOTAC Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang; Pengarah Pelancongan Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Datuk Ahmad Basri; Pengerusi Persatuan Homestay Negeri Pulau Pinang Rohaizad Othman serta ramai lagi.

Dalam pada itu, Rohaizat berkata bahawa  sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan 219 pengusaha rumah inap desa di Pulau Pinang terdiri daripada golongan wanita dengan majoritiya daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kebanyakan inap desa yang diusahakan di negeri ini mempunyai daya tarikan tersendiri dengan fokus mempromosikan aktiviti kampung setempat.

“Ketika ini, perniagaan homestay masih berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita fokuskan kepada aktiviti kampung yang suasananya terbuka dan perniagaan kecil-kecilan seperti menoreh getah, pembuatan kuih tradisional, madu kelulut dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun Rohaizad berkata, akibat penularan pandemik COVID-19 pada Februari lalu, banyak pembatalan penginapan dibuat sehingga hujung tahun ini dengan kebanyakannya melibatkan tempahan oleh pelancong asing.

“Industri rumah inap desa masih menerima kedatangan pelancong dengan majoritinya merupakan pelancong domestik dan pelawat asing yang menetap di Malaysia juga mengulangi percutian di inap desa,” jelasnya.

Difahamkan, dua kluster rumah inap desa di Pulau Pinang iaitu Homestay Mengkuang Titi dan Homestay Kota Aur telah dicalonkan untuk menerima angerah uAsean Homestay Award 2021-2023 yang dijadualkan berlangsung di Vietnam, pada 2021.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS