GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan platform melalui Program Penang Women Entrepreneurs Mentoring (PenMentor) dalam membantu memberi bimbingan kepada usahawan wanita baru atau yang ingin mengembangkan perniagaan dengan lebih sistematik.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, setakat ini seramai 297 peserta telah menyertai program ini.
Sorotan tahun lalu, para peserta program ini telah mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 52 peratus secara purata.
“Ini adalah pencapaian yang sangat menakjubkan dalam tempoh empat bulan sejak diperkenalkan,” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 27 November 2024.
Menurut Siew Khim, selain program PenMentor, program Wanita Jana Rezeki (WJR) yang dilaksanakan melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) juga merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam membantu wanita pada peringkat komuniti untuk menjana pendapatan.
Setakat ini seramai 49 peserta telah menyertai program ini dan bagi meningkatkan penglibatan lebih ramai golongan wanita, mulai tahun hadapan, program ini akan diterapkan dan dijalankan oleh Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).
“Ahli-ahli JPWK yang berminat akan menjalani latihan mengenai cara pelaksanaan program ini sebagai bekalan ekonomi untuk kelangsungan hidup.
“(Dan) melalui program ini, JPWK dapat meningkatkan keupayaan untuk mencapai kemandirian kewangan sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Tambahnya lagi, bagi merapatkan jurang gender dalam ekonomi, pihaknya bersama-sama PWDC akan menjalankan beberapa program untuk memberdayakan para usahawan wanita di Pulau Pinang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS