GEORGE TOWN – Tempoh masa bagi Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 telah dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pemegang taruh untuk menyemak, mengemukakan cadangan, maklum balas mahupun bantahan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelanjutan tempoh masa tersebut akan membolehkan pemegang taruh yang terdiri daripada pemilik atau pemunya tanah termasuk pemaju untuk memberi maklum balas berhubung cadangan pembangunan atau tukar guna tanah untuk tempoh perancangan sehingga tahun 2030 nanti.
Mereka (pemegang taruh) boleh mengakses borang berkaitan (Borang Bantahan / Maklum Balas / Pandangan Awam) secara dalam talian yang mana proses ini adalah memenuhi peruntukan undang-undang (sebelum dokumen Rancangan Tempatan dimuktamadkan).
“Selepas itu, proses ini akan disusuli dengan penghantaran notis makluman kepada pihak berkaitan yang telah mengemukakan cadangan serta bersetuju untuk hadir ke sesi pendengaran awam yang akan dikendalikan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“(Dan) melalui sesi pendengaran awam ini juga, para pemegang taruh dapat bersemuka dengan panel terlibat bagi mengemukakan pandangan masing-masing,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 28 Disember 2022.
Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan pengamal media berhubung kenyataan sebuah parti politik yang mempersoal ketelusan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030, semalam, selain mempersoalkan kesesuaian lokasi dan waktu pameran diadakan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow percaya bahawa pihak MBPP juga telah mengadakan pertemuan (sesi townhall) dengan persatuan-persatuan berkaitan berhubung draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030, sebelum ini.
Draf ini telah mengambil masa yang begitu lama untuk sampai ke tahap ini dan ia dilaksanakan bagi memenuhi peruntukan undang-undang.
“Malah, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan pelanjutan tempoh masa diberikan dan tiada halangan untuk mana-mana pihak mengemukakan maklum balas melalui borang yang disediakan,” jelasnya.
Sebagai rekod, Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 disediakan selaras dengan keperluan Seksyen 12, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang bakal menjadi dokumen panduan rasmi kawalan dan pelaksanaan pembangunan sepanjang tempoh perancangan sehingga tahun 2030.
Draf berkenaan dipamerkan di tiga lokasi tetap iaitu di Bangunan Syed Al-Attas, Lebuh Armenian; Bangunan Maker Space (Tingkat Bawah), Pasar Awam Balik Pulau dan di Kaunter Jabatan Perancangan Pembangunan MBPP Tingkat 16, Komtar bermula pada 14 Oktober 2022 sehingga 13 Disember 2022, namun dilanjutkan sehingga 10 Januari 2023.
Sebarang maklumat terkini berkaitan Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030, layari portal rasmi MBPP di http://www.mbpp.gov.my .
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI