GEORGE TOWN – Program Ramah Mesra hasil inisiatif Persatuan Wanita Mutiara (PWM) Pulau Pinang adalah salah satu contoh manifestasi kempen ❤️Penang yang bukan sahaja memfokuskan penyertaan masyarakat malah juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kolaborasi antara kerajaan dengan NGO mahupun badan-badan korporat dan persatuan adalah penting dalam memastikan bukan sahaja pembangunan fizikal negeri yang pesat tetapi juga pembangunan sosial positif serta sihat.
“Dalam sebuah negeri yang amat dinamik dan sedang membangun dengan pesat, kita mungkin mengabaikan pembangunan sosial dan modal insan.
“Sedangkan, pembangunan sosial serta modal insan adalah penting bagi memastikan pembangunan sesebuah negeri secara menyeluruh.
“(Oleh yang demikian), di samping membawa pelaburan dan menciptakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya, Kerajaan Negeri sedar bahawa aspek pembangunan sosial tidak harus diabaikan.
“Hal ini penting kerana melalui pembangunan sosial, kita dapat melahirkan rakyat yang berpandangan positif, mempunyai keyakinan diri serta daya tahan diri tinggi dalam menghadapi apa jua cabaran pada masa hadapan,” ujarnya pada Program Ramah Mesra Komuniti Bersama-sama ADUN Padang Kota yang diadakan di dataran New World Park dekat sini pada 11 Jun 2022.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menzahirkan pengharapan agar semua rakyat di negeri ini dapat bertindak dan menerapkan semangat ❤️Penang untuk membina asas masa depan yang utuh.
“Kerajaan Negeri mempunyai portfolio Pembangunan Sosial dan agensi pelaksana program serta aktiviti seperti Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).
“Selain itu, pada peringkat komuniti pula, diwujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) bagi membantu menghubungkan antara kerajaan serta rakyat.
“Begitu juga NGO yang mana di Pulau Pinang merangkumi hampir semua lapangan, turut membantu dan memainkan peranan masing-masing termasuk penganjuran program pada hari ini.
“Program Ramah Mesra ini hanyalah sebahagian proses membentuk institusi kekeluargaan, diharap benih yang ditanam di sini (dalam program ini) dapat disemai sebaiknya agar tumbuh (menjadi pohon yang) baik, ❤️Penang,” ulasnya sambil menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah serta berharap agar program tersebut dapat diadakan di semua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).
Dalam pada itu, Pengerusi PWM Pulau Pinang, Puan Tan Lean Kee yang juga isteri kepada Ketua Menteri, gembira apabila program yang memasuki siri kedua berkaitan mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan komuniti malah juga NGO serta persatuan-persatuan tempatan.
“Program Ramah Mesra bersama-sama komuniti ini dilancarkan pada 28 Mei 2022 di KADUN Paya Terubong.
“Objektif program ini adalah untuk mendekati komuniti serta membantu keluarga yang memerlukan melalui perkongsian kemahiran mengurus keluarga dan anak-anak atau menghulurkan lain-lain bantuan yang diperlukan.
“Pendekatan yang diguna pakai oleh PWM Pulau Pinang dalam mendekati masyarakat secara inklusif adalah bagi memastikan pembangunan sosial yang baik dan memberi impak serta manfaat yang diharapkan dalam membentuk institusi keluarga yang bahagia,” jelasnya.
Pada program sama, seramai 15 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan berupakan komputer riba serta hamper sebelum diraikan dalam jamuan tengah hari di sini.
Turut diadakan adalah bengkel mini melibatkan ibu dan anak dalam meningkatkan komunikasi positif serta reruai melukis inai atau henna.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang antara kenamaan yang hadir memeriahkan penganjuran program kali ini.
Turut sama, Ahli-ahli Jawatankuasa PWM Pulau Pinang; pemilik Passion Trading Sdn. Bhd., Peter Teo yang merupakan penyumbang komputer riba; Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Passion of Kerala, Datuk Gary Nair serta wakil daripada New World Park yang menaja lokasi penganjuran di sini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS