Program saringan COVID-19 percuma diteruskan

Admin

GEORGE TOWN – Program saringan percuma hasil inisiatif Kerajaan Negeri iaitu Penang Saring COVID-19 (PSC-19) akan diteruskan lagi di empat lokaliti terpilih pada minggu ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, empat lokaliti itu adalah di padang Taman Kejiranan Macallum pada 15 Julai 2021 (Khamis); Kompleks Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jalan Rajawali, Bayan Lepas (16 Julai, Jumaat); Sekolah Kebangsaan Padang Tembak (17 Julai, Sabtu) dan Dewan MPKK Sungai Dua, Batu Uban (18 Julai, Ahad).

JAGDEEP Singh Deo.

 

“Program PSC-19 dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 5 Julai lalu melibatkan enam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di daerah Timur Laut dan diadakan di Stadium Bandaraya.

“Manakala, baru-baru ini iaitu pada 10 Julai 2021 program sama diadakan di Dewan Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya membabitkan empat KADUN iaitu Perai, Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

“Semalam (11 Julai), program ini dilaksanakan di Dewan Besar Sungai Dua melibatkan KADUN Sungai Dua dan Permatang Berangan.

“(Dan) pada minggu ini, program ini akan diteruskan seperti yang disasarkan sebelum ini iaitu melibatkan 1,000 orang di setiap KADUN di Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi platform Facebook pagi ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif ini, Jagdeep yang juga ADUN Datok Keramat memaklumkan bahawa di ketiga-tiga lokaliti sebelum ini, jumlah pendaftaran yang diterima adalah sebanyak 2,161 individu, tidak termasuk jumpa terus (walk-in), iaitu di Stadium Bandaraya seramai 605 orang; Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony (754) dan Dewan Besar Sungai Dua (802).

“Daripada keseluruhan pendaftaran, 1,695 telah disaring dan sebanyak 35 kes positif dapat dikesan melibatkan sembilan (9) di Stadium Bandaraya; Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony (14) dan Dewan Besar Sungai Dua (12).

“Mereka (yang positif) ini telah melaksanakan ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) bagi mengesahkan status ujian.

Semua keputusan ujian saringan diperoleh dalam tempoh 48 hingga 72 jam dan sementara menunggu keputusan ujian RT-PCR semua individu yang dikesan positif akan dipakaikan gelang kuarantin serta diarahkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

“Oleh itu, saya berharap semua rakyat di negeri ini mengambil maklum mengenai pelaksanaan Program PSC-19 ini dan menyokong inisiatif ini untuk sama-sama kita putuskan rantaian perebakan COVID-19,” sarannya yang yakin dengan kapasiti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu Kerajaan Persekutuan mengekang penularan COVID-19 di negeri ini.

 

(Dari kiri); ONG Khan Lee; Wong Hon Wai, Jagdeep Singh Deo dan Teh Lai Heng pada sidang media pagi ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut berharap proses pemberian vaksin dapat diteruskan dan dipercepatkan demi mencapai imuniti kelompok.

Meskipun jumlah kes yang dilaporkan mutakhir ini sangat tinggi, saya percaya kita boleh mengatasinya dengan mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi walaupun sudah divaksin.

“Selain ujian saringan seperti yang kita (Kerajaan Negeri) laksanakan kini, suntikan vaksin juga penting…dan berharap Pulau Pinang akan mendapat bekalan (vaksin) yang mencukupi memandangkan kita antara negeri yang mempunyai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbanyak di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Hon Wai memuji inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti dan mengasingkan individu yang berkemungkinan pembawa virus COVID-19 tanpa gejala melalui Program PSC-19 ini.

“Ujian saringan merupakan salah satu alat pengesan atau tracing tool yang sangat penting selain vaksinasi.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua penduduk di lokaliti terlibat supaya mendaftarkan diri dan hadir bagi menjalani ujian saringan percuma ini.

“Bukan sahaja baik untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk keluarga dan komuniti di sekeliling kita dalam usaha mengekang perebakan COVID-19,” katanya.

Pendaftaran boleh dibuat melalui http://penangsaring.selangkah.my atau melalui Pusat Khidmat KADUN masing-masing. Terhad kepada 1,000 orang bagi setiap KADUN.

Pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Kerajaan Tempatan melalui emel di [email protected] atau melalui talian 04-650 5379/5683/5658/5730.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN