MERIAH… Program Cleaner, Greener Penang, Sukaneka Kampungku dan Penyampaian Bantuan Baju Sekolah yang bertujuan mengenali penduduk kampung dan mengukuhkan ukhuwah sedia terjalin antara penduduk kampung serta kepimpinan negeri berjaya memperoleh penyertaan seramai 200 penduduk Kampung Terang, Balik Pulau baru-baru ini.
Antara program yang diselitkan dalam program serangkai hasil anjuran bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Pusat Khidmat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong adalah aktiviti gotong- royong di Balai Raya Kampung Terang, sukaneka desa dan menjamu selera beramai-ramai macam kenduri.
PPKnya, Mohd. Tuah Ismail berkata, suasana harmoni yang tercetus ketika penganjuran program menyuntik semangat pihaknya untuk mengadakan dengan lebih kerap program- program serangkai sebegitu pada masa hadapan.
Dalam pada itu, turut diraikan adalah 53 pelajar kurang mampu yang menerima bantuan pakaian dan kelengkapan persekolahan.
Turut disumbangkan adalah tiga unit kerusi roda kepada warga emas uzur dalam kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Terang dan JKKK Kampung Genting.