SUNGAI DUA – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap agar program Sukan Untuk Semua yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dapat melahirkan lebih ramai atlet cemerlang pada masa akan datang.
Katanya, golongan muda boleh memanfaatkan program tersebut untuk menyerlahkan bakat masing-masing dalam bidang sukan yang mereka minati.
“Melalui penganjuran program ini, Kerajaan Negeri mahu lahirkan lebih ramai pelapis muda dalam pelbagai jenis sukan sama di peringkat negeri mahupun antarabangsa.
“Oleh itu, diharapkan atlet-atlet muda dapat mengambil peluang ini untuk memajukan diri dalam sukan yang diminati sekaligus dapat menyerlah lagi potensi masing-masing,” katanya semasa berucap semasa merasmikan program Sukan Untuk Semua bagi Kejohanan Petanque dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya pada 14 Disember lalu.
Turut hadir, Presiden Persatuan Petanque Negeri Pulau Pinang, Ahmad Khosaini dan wakil daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai.
Mengulas mengenai perkembangan petanque di negeri ini, Lip Chee berkata bahawa masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memperkenalkan lagi sukan tersebut.
“Petanque pada masa ini lebih popular dalam kalangan kaum Melayu. Justeru, kita merasakan bahawa perlu ada usaha untuk mempromosikan lagi sukan ini kepada pelbagai kaum terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah rendah di negeri ini.
“Hari ini kita ada 68 pasukan yang mengambil bahagian dan kita harap pada tahun depan kita oleh tingkatkan kepada 100 pasukan yang akan menyertai kejohanan ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.
Dalam pada itu, Ahmad Khosaini memberitahu bahawa pihaknya berhasrat untuk menganjurkan kursus pengenalan bagi sukan petanque untuk sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
“Setakat ini kita ada 30 peserta dari tiga buah sekolah yang berdaftar dalam Persatuan Petanque dan pada masa akan datang kita sasarkan jumlah penyertaan akan dapat ditingkatkan,” katanya lagi.
Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF