GEORGE TOWN – Program pemberian suntikan vaksin influenza percuma kepada warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik akan diteruskan lagi bagi fasa berikutnya.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata ia berikutan bekalan sebanyak 4,000 dos yang diterima oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini sudah habis dimanfaatkan oleh mereka yang layak.

“Bekalan vaksin akan tiba di klinik kesihatan di negeri ini secara berfasa jadi sekiranya bekalan vaksin sudah tersedia maka kita akan buka slot untuk tempahan sekali lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi pagi tadi.
Zi Sen berkata, bagi fasa pertama pemberian vaksin influenza hanya kepada semua warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik.
“Berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 6/2024, program ini hanya melibatkan pemberian vaksin kepada mereka yang layak di klinik kesihatan kerajaan yang terpilih sahaja.
“Namun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan cadangan supaya menambah bilangan klinik kesihatan yang terlibat tetapi perlu melihat kepada bekalan vaksin dan kapasiti klinik kesihatan yang terlibat,” jelasnya.
Zi Sen berkata, bagi warga emas yang mempunyai masalah dalam penggunaan aplikasi janji temu boleh hadir ke kaunter klinik kesihatan terdekat membuat tempahan melalui MySejahtera.
“Sebenarnya Bahagian Kesihatan Digital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan video tatacara penggunaan aplikasi MySejahtera untuk orang awam bagi membuat slot janji temu untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyarankan semua lapisan masyarakat terutamanya warga emas dan Kumpulan berisiko tinggi supaya mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun bagi mengelakkan jangkitan.
“Lebih penting adalah orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan.
“Selain itu, kita juga perlu mengamalkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam yang sesak bagi mengelakkan jangkitan.
“Bagi mereka yang telah dijangki dan mengalami gejala berpanjangan atau semakin teruk perlulah segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta yang terdekat,” serunya.
Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut menemu bual beberapa warga emas yang telah menerima suntikan vaksin influenza menerusi program berkaitan.
FADILAH MD. NOR, 65, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat dan Negeri atas inisiatif pemberian suntikan vaksin influenza percuma kepada kumpulan warga emas terlibat.
Katanya, inisiatif terebut penting untuk memberi perlindungan kepada warga emas yang merupakan antara Kumpulan yang paling berisiko dijangkiti virus influenza.
“Inisiatif ini sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di hospital-hospital kerajaan akibat penularan jangkitan penyakit berjangkit seperti influenza ini.
“Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza bagi melindungi diri daripada virus,” katanya yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi.
FATHIMAH WAHAB, 69, pula bersyukur apabila layak menerima suntikan vaksin influenza secara percuma memandangkan dia kini mempunyai komorbiditi iaitu darah tinggi, kencing manis dan asma
“Saya berasa amat lega kerana terpilih sebagai salah seorang penerima vaksin influenza secara percuma di bawah program ini.
“Sebelum ini ada juga terfikir untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana bimbang terdedah dengan penyakit tetapi tidak mampu kerana saya tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan saripada zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya harap program ini dapat diteruskan lagi supaya lebih ramai warga emas yang kurang memerlukan dapat menerima suntukan vaksin ini demi keselamatan mereka,” katanya dengan nada gembira.
Bagi ZAKARIA MAT DERAMAN, 78, program pemberian vaksin influenza secara percuma kepada warga emas yang mempunyai penyakit kronik merupakan langkah yang baik dan wajar dipuji.
“Langkah ini dapat membantu kami (warga emas) mendapatkan perlindungan daripada virus influenza tanpa membebankan kewangan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengambil berat terhadap warga emas dengan menjalan program pemberian vaksin secara percuma ini,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR ARSYAD OMAR