SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil langkah proaktif dalam memastikan para peniaga dan penjaja di Seberang Perai diberi keutamaan menerima vaksin dengan memperkenalkan Program Vaksinasi Peniaga.
Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program ini diperkenalkan bagi memastikan tempat-tempat tumpuan seperti di pasar awam, pasar pagi, pasar tani, pasar malam, bazar ‘uptown’ dan trak makanan selamat dan tidak menjadi pusat penyebaran wabak COVID-19.
Selain itu, melalui inisiatif ini, keyakinan para pengunjung ketika berinteraksi dengan peniaga dapat ditingkatkan sekali gus menjana pendapatan buat para peniaga dan penjaja terlibat.
“Buat masa ini, pihak MBSP sedang mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program ini termasuk menyediakan tempat vaksinasi yang bersesuaian.
“Saya berharap usaha ini dapat membantu percepatkan sasaran Kerajaan Negeri bagi memastikan 100 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya dos pertama pada awal September ini.
“(Dan) mencapai imuniti kelompok seperti yang dihasratkan,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook pagi ini.
Menurut Rozali, berdasarkan rekod dan bancian MBSP, terdapat seramai 8,706 peniaga dan penjaja berlesen di Seberang Perai dan 793 peniaga tidak berlesen.
MBSP bercadang untuk menjadikan syarat telah divaksin sebagai salah satu syarat memperbaharui lesen perniagaan ataupun memohon lesen baru.
“Walau bagaimanapun, masih dalam pertimbangan dan sekiranya terpaksa disyaratkan sedemikian ia adalah demi menjamin kesihatan dan keselamatan awam warga Seberang Perai,” katanya yang turut bimbang dengan senario terkini peningkatan kes COVID-19 di negara ini termasuk di Pulau Pinang.
Difahamkan, senarai pendaftaran peniaga dan penjaja melalui Program Vaksinasi Peniaga Seberang Perai ini akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan susulan bagi memastikan kelompok ini diberikan keutamaan untuk menerima vaksin.
Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://qrgo.page.link/vVy6z atau mengimbas kod QR tersedia.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MBSP