Program Welcome Back to School SK Seri Relau meriah

BAYAN LEPAS – Seramai 163 murid dari Tahun Satu dan prasekolah diraikan dengan meriah oleh barisan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau pada hari pertama sesi persekolahan baru-baru ini.

Selain guru-guru, sambutan permulaan sesi persekolahan turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut yang hadir pada hari berkenaan.

SUASANA meriah semasa waktu pagi murid-murid bergambar bersama pasukan maskot.

Dalam sesi tinjauan Buletin Mutiara ke sekolah berkenaan mendapati para guru berpakaian serba keemasan manakala ibu bapa menggayakan maskot yang menarik, menggamit suasana ceria dalam kalangan murid-murid baharu.

MURID-MURID diberikan sarapan percuma sebelum memulakan aktiviti.

Menurut sumber, aktiviti pada hari pertama dimulakan dengan sarapan pagi sambil diselit dengan penerangan oleh guru yang bertugas mengenai kepentingan bersarapan.

“Murid-murid juga aktif semasa slot penerangan berlangsung dan hadiah berupa alat tulis diberikan kepada mereka yang mengambil bahagian.

“(Dan) aktiviti seperti ini akan diteruskan sehingga minggu akhir persekolahan yang mana pelbagai pengisian menarik seperti aktiviti senam robik dan senam seni “Badan Sihat Baru Semangat!” yang diadakan setiap Hari Selasa; Science Show & Fun with Mathematics (Rabu); Indahnya Kamus (Khamis) serta Nawaitu Saum dan Clown Shows (Jumaat),” kata sumber mengenai pengisian program Welcome Back to School sekolah berkenaan.

GURU Besar SKSR, Zuraida Haris bersama-sama pasukan maskot baru-baru ini.

Jelas sumber itu lagi, objektif utama pengisian sebegini diadakan bertujuan meraikan serta menyambut murid dengan penuh ceria dan semangat.

“Sama seperti tahun sebelumnya yang mana aktiviti seperti ini turut diadakan selain murid-murid diberikan sarapan percuma serta disediakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Lagipun, pengisian seperti ini memberi pengalaman baru kepada mereka di samping mempersiapkan mereka dengan pembelajaran nanti,” ujar sumber.

Sebagai rekod, sesi persekolahan 2023 / 2024 bermula pada 20 Mac lalu bagi negeri-negeri Kumpalan B termasuk Pulau Pinang.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SUMBER SK SERI RELAU