NIBONG TEBAL – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan inisiatif YES! Rock to School bagi menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selepas kejayaan penganjuran di beberapa negeri sebelum ini, program itu kini diperluas ke negeri Pulau Pinang melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Program yang berlangsung dekat Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di sini sebentar tadi.
Semasa berucap, Ahmad Fuzi berkata penganjuran program tersebut adalah selaras dengan visi Kerajaan Negeri untuk menjadi hab teknologi, inovasi serta peluang seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Bakat STEM Pulau Pinang.
“Kepesatan perkembangan industri elektrik dan elektronik (E&E) di negeri ini tentunya hadir dengan permintaan yang tinggi ke atas tenaga kerja dalam bidang STEM.
“Berdasarkan rekod, sehingga 6 September 2024, terdapat sebanyak 1,983 kekosongan jawatan kejuruteraan di negeri ini yang belum diisi.
“Justeru, usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja STEM perlu dilipatgandakan agar industri E&E di negeri ini akan terus mapan serta kukuh,” katanya ketika berucap.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd. Yusof; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Said Hussain; Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof. Dr. Azlan Amran; Timbalan Pengerusi dan Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd. Khuzzan Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew.
Sementara itu, Chee Keong yang turut berucap sebelum itu menegaskan bahawa Kementerian Sumbar Manusia (KESUMA) amat komited dalam menangani isu guna tenaga tidak penuh secara proaktif menerusi kerjasama rentas kementerian.
“Program YES! Rock to School mencerminkan komitmen KESUMA dalam membangunkan tenaga kerja masa depan dengan melibatkan sekolah bagi pembentukan bakat bagi memenuhi keperluan industri.
“Oleh itu, adalah amat penting untuk menyelaras kemahiran dengan keperluan industri supaya rakyat negara ini mendapat manfaat penuh darioada pembangunan kemahiran dan pendidikan tinggi, seterusnya mencapai kejayaan yang memenuhi inspirasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, TalentCorp turut akan melancarkan inisiatif YES Counsellors pada Januari tahun dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.
“Projek rintis ini akan melibatkan penyertaan 168 guru kaunselor dari 127 buat sekolah di negeri ini dan bakal memberikan manfaat kepada lebih 100,000 pelajar.
“Selepas itu, program ini akan diperluas ke seluruh negara dengan sokongan KPM,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
Program YES! Rock to School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 merupakan program dua hari yang melibatkan lebih 500 pelajar dan 150 orang guru serta kaunselor dari 34 sekolah di negeri ini.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS