GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersetuju memajak 407.95 ekar tanah bukit berketinggian melebihi 70 meter (m) kepada KAT Resources Sdn. Bhd. untuk pelaksanaan Projek Agro Pelancongan Paya Terubong.
Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar berkata bahawa dalam tempoh pajakan selama 45 tahun iaitu bagi tempoh tahun 2023 hingga 2068, projek yang dirancang bukan sahaja untuk penanaman pokok buah-buahan seperti durian serta sebagainya, malah merangkumi komponen-komponen lain untuk aktiviti riadah seperti kembara (hiking), perkhemahan mewah (glamping), luncur keluang (flying fox), anjung pemandangan dan lain-lain.
“Kita (PDC) akan kenal pasti kawasan yang sesuai untuk penanaman pokok dan yang mana tidak sesuai… akan ikut garis panduan yang Jabatan Pertanian tetapkan bagi mengelak pemotongan (pokok teduh) di tapak tersebut.
“Jadi di kawasan tersebut, kita (PDC) akan memastikan (tahap kehijauan) hutan sedia ada dikekalkan.
“Nilai pajakan yang Kerajaan Negeri melalui PDC akan dapat adalah kira-kira RM24 juta bagi tempoh 45 tahun,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 14 September 2023.
Menurut Aziz, PDC akan berusaha memastikan semua syarat berwajib seperti laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), laporan penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA), laporan kajian penilaian impak lalulintas (TIA) dan sebagainya sehingga salinan perintah pembangunan (DO) diperoleh bagi memulakan kerja-kerja tanah dalam projek tersebut.
Aziz mewakili PDC dalam memeterai perjanjian tersebut, sementara KAT Resources Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teoh Kok Aun.
Selain Kon Yeow, turut menyaksikan majlis menandatangani surat perjanjian bagi projek tersebut adalah Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo serta Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya percaya bahawa insiden ‘Bukit Botak’ atau pembersihan hutan tanpa kebenaran di Bukit Relau yang terjadi beberapa tahun lepas tidak akan berulang dalam Projek Agro Pelancongan Paya Terubong berkaitan.
“Ini, merupakan permulaan sebagaimana disebut oleh Encik Teoh (Kok Aun) tadi yang mana pihak mereka (KAT Resources Sdn. Bhd.) bertanggungjawab melalui proses (bagi mendapatkan kelulusan) Kebenaran Merancang, semestinya melibatkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Tempat ini (Lot 6379, 6380, 6381, 6382, Paya Terubong, Mukim 13, Daerah Timur Laut) ini memang sedia ada hijau, jadi saya percaya Projek (Agro Pelancongan Paya Terubong) ini akan mengambil kira isu saliran, lereng dan lembah yang wujud di tapak ini,” ujarmnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Paling penting, tambah Kon Yeow adalah projek tersebut diyakini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor pelancongan di samping menjamin rantaian bekalan buah-buahan terutama durian yang menjadi kebanggaan warga Pulau Pinang.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kok Aun memberitahu bahawa kerja-kerja penanaman pokok dijangka mengambil masa selama lima tahun, bergantung kepada tempoh masa DO diperoleh disusuli dengan kerja-kerja pembangunan kemudahan aktiviti agro pelancongan lain.
“Reka bentuk (kawasan agropelancongan ini) akan sedaya upaya mengurangkan kerja-kerja pemotongan (pokok) dan pembinaan (struktur binaan konkrit baharu),” ulasnya lanjut.
Buletin Mutiara difahamkan terdapat dua firma bukan kerajaan menyatakan hasrat untuk melibatkan diri dalam projek berkaitan yang mana KAT Sdn. Bhd. dipilih melalui proses tender terbuka peringkat PDC.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING