Projek Air Perak-Pulau Pinang, Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua jangka mula tahun ini

Admin
img 20250103 wa0012

SEBERANG PERAI – Pelaksanaan dua projek ‘raksasa’ yang diumumkan dalam Bajet 2025 Persekutuan sebelum ini dijangka dapat dimulakan pada tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dua projek berkenaan adalah membabitkan Projek Air Perak-Pulau Pinang dan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua.

Bagi Projek Air Perak-Pulau Pinang, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan pada peringkat awal memandangkan semua kerja-kerja infrastratruktur dilaksanakan di negeri Perak.

“Setakat ini, kita tidak terlibat dalam apa-apa rundingan kerana kerja-kerja infrastruktur projek seperti membina terowong dan paip saluran ke loji rawatan, semuanya berlaku di negeri Perak.

“Dalam hal ini, Pulau Pinang merupakan pengguna atau pembeli air terawat daripada negeri Perak.

“Jadi kita (Kerajaan Negeri) masih belum sampai ke peringkat rundingan mengenai berapa banyak air dapat dibekalkan dan kadar tarif yang akan ditetapkan.

“Pihak kementerian terlibat dan Kerajaan Negeri Perak kini sedang menumpukan kepada kajian pelaksanaan, reka bentuk, aspek teknikal dan sebagainya sebelum kerja-kerja fizikal dapat dimulakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid serta barisan Ahli Majlis bagi MBSP.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa peruntukan bagi projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua akan disediakan pada tahun ini.

“Secara lazimnya, projek mega seperti ini akan dimulakan dengan kerja-kerja kajian dan reka bentuk terlebih dahulu.

“Pelaksanaan kerja secara fizikal pula hanya boleh dilaksanakan selepas kajian dan reka bentuk dijalankan terlebih dahulu yang mana ia dijangka mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

“Kita juga difahamkan bahawa agensi pelaksana sudah memulakan kajian dan kerja-kerja perundingan kini sedang berjalan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Ditanya mengenai kos, Kon Yeow memberitahu bahawa projek tersebut dikatakan bakal menelan belanja kira-kira RM2.7 bilion.

“Namun begitu, kita sedang menunggu pengumuman rasmi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) kerana projek ini turut membabitkan beberapa pihak lain termasuk PLUS Malaysia Berhad.

“Projek ini dijangka mengambil masa kira-kira empat hingga lima tahun untuk disiapkan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHAMD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS