Projek Air Perak – Pulau Pinang penyelesaian pembekalan air SPS

Admin
img 20240623 wa0046

SUNGAI BAKAP – Projek Air Perak – Pulau Pinang bernilai RM4 bilion bakal menjadi penyelesaian kepada masalah pembekalan air di Seberang Perai Selatan (SPS) yang mana ia akan membekalkan air terawat dari Sungai Perak ke daerah berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut diluluskan oleh Perdana Menteri, dan Kerajaan Negeri telah membuat kajian bahawa bahawa Sungai Perak boleh membekalkan air bukan hanya kepada SPS bahkan juga utara negeri Perak yang turut menghadapi masalah sama kini.

“Projek tersebut dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan dan apabila ia siap, kebanyakan isu air di Pulau Pinang boleh diselesaikan.

“Malah, sementara menunggu kelulusan projek, Kerajaan Negeri akan menambah baik serta membuat perancangan untuk melaksanakan projek infrastruktur bekalan air bagi tempoh 2023 hingga 2028 yang mana kita (Kerajaan Negeri) akan siapkan projek berkait di Sungai Muda, Mengkuang dan juga Kerian,’’ ujarya ketika menjawab persoalan penduduk Kampung Lima Kongsi dalam satu sesi ramah mesra di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lima Kongsi, Kwek Tuck Woay; pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan juga komuniti setempat.

Sementara itu, antara lain yang turut dibangkitkan adalah isu pencemaran bau yang dipercayai dihasilkan oleh kilang berhampiran.

Pegawai MBSP dengan itu memberi jaminan bahawa siasatan lanjut akan dilaksanakan, dan sekiranya pihak kilang ingkar maka tindakan tegas termasuk menarik lesen operasi boleh dilakukan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS