Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, sekali lagi membidas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila ianya turut dikenakan ke atas projek awam yang bakal digunakan untuk kepentingan rakyat.
Projek yang dimaksudkan adalah pembinaan jalan sambungan di Jalan Bunga Hinai dengan Jalan Bunga Kaca Piring sekitar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Hun Bin Daerah Timur Laut di sini.
“Projek ini untuk orang ramai dan bukan projek yang membawa keuntungan pun, malangnya kita (Kerajaan Negeri) dimaklumkan bahawa ianya bakal dikenakan GST sebanyak enam peratus.
“Jumlah GST sebanyak RM112,680 termasuk dalam tender sehingga meningkatkan kos keseluruhan pembinaan kepada RM2,330,000.
“Kita (Kerajaan Negeri) masih tidak faham mengapa ianya perlu dikenakan GST, pada hal ianya (projek berkaitan) adalah untuk kemudahan orang awam,” tegasnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.
Justeru, beliau menuntut penjelasan daripada Kerajaan Pusat dan berhasrat agar projek sedemikian tidak dikenakan GST yang mana akibatnya akan ditanggung oleh rakyat.