Projek bina semula Masjid Lama Sungai Bakap ‘legasi keluarga’ TYT

Admin
ILUSTRASI kompleks bangunan baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap ini adalah cetusan idea dan usaha secara tidak langsung Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, kata Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid kepada Buletin Mutiara menjelang tengah hari tadi.

Pada 16 Julai lepas Perdana Menteri Y.A.B Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim diiringi Ketua Menteri ‘Caretaker’ Pulau Pinang Tuan Chow Kon Yeow menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Masjid Baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap.

Semasa berucap, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian peruntukan persekutuan berjumlah RM7 juta bagi membiayai sebahagian daripada keseluruhan kos keseluruhan projek tersebut kira-kira RM20 juta.

ANWAR Ibrahim (dua dari kanan) diiringi Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) dan barisan pemimpin lain semasa acara gimik perasmian Projek Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap di sini pada 16 Julai 2023.
MOHAMED Khairi Mohd. Isa

Menjelang tengah hari tadi (20 Julai 2023), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD berpeluang menemu ramah dua individu penting di sebalik rancangan pembinaan masjid baharu tersebut di sini.

Mereka yang dimaksudkan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Lama Sungai Bakap, MOHAMED KHAIRI MOHD. ISA, 68, dan SUHAIRY YAHAYA, 48, yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Kariah masjid tersebut.

Mohamed Khari, pesara kerajaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam, memberitahu bahawa nama Masjid Lama Sungai Bakap ini telah wujud sejak 225 tahun lampau lagi jika berdasarkan rekod bertulis tanah wakaf tempat masjid ini didirikan bertarikh 1798.

“Nama masjid ini telah wujud sejak 1798, bangunan masjid ini telah melalui beberapa kali proses penaiktarafan, kali terakhir pada 1974 jika berdasarkan plak perasmian yang masih terdapat di bangunan masjid ini.

“Kalau diperhatikan pada kubah masjid ini pun, yang menjadi mercu tanda Masjid Lama Sungai Bakap di sini pun, sebenarnya mirip pada senibina kubah Masjid Negara (yang mula dibina pada tahun 1960 dan siap pada 1965).

“Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengambil keputusan untuk membina semula bangunan baharu di sini kerana mengambil kira pelbagai pengubahsuaian pada bangunan sedia ada tidak ada teras yang asli untuk dipelihara dan dipulihara.

“Projek membina semula masjid ini menjadi bertambah mudah kerana tanah wakaf Masjid Lama Sungai Bakap ini adalah ahli keluarga TYT sekarang (Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak), dan projek pembinaan bangunan masjid baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap ini mungkin bertitik-tolak sebagai satu lagi legasi keluarga TYT yang merupakan anak jati kariah di sini,” jelasnya lagi.

KUBAH persis rekabentuk bumbung Masjid Negara dekat Kuala Lumpur menjadi mercu tanda Masjid Lama Sungai Bakap di sini.

Buletin Mutiara difahamkan Kerajaan Negeri dalam Bajet 2023 memperuntukan RM18 juta untuk membina tujuh masjid baharu di Pulau Pinang, salah satunya adalah Masjid Lama Sungai Bakap.

Mohamed Khairi memberitahu bahawa setakat ini Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM6 juta untuk merealisasikan projek pembinaan semula masjid di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap.

“Pada satu-satu masa Masjid Lama Sungai Bakap ini hanya boleh menampung seramai 700 orang sahaja, selalunya kehadiran ahli jemaah solat fardhu Jumaat atau solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha akan melimpah sampai ke luar dewan solat.

“Bangunan sedia ada yang terdiri daripada enam kelas KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) juga adalah tidak mencukupi bagi menampung jumlah anak-anak kariah di sini.

“Ruang solat yang begitu terhad, begitu juga keperluan untuk menambah sekurang-kurangnya empat lagi kelas KAFA (menjadi 10 kelas) mendorong Jawatankuasa Kariah Masjid Lama Sungai Bakap mencadangkan pembinaan sebuah masjid baharu dengan anggaran kos awal kira-kira RM7 juta.

“TYT (Tun Ahmad Fuzi) berkata masjid baharu yang bakal dibina ini mesti menjadi mercu tanda baharu bagi memartabatkan syiar Islam di sini (Sungai Bakap), maka reka bentuk terbaru senibina masjid ini diilhamkan oleh beliau sendiri, dengan anggaran kos baharu kira-kira RM20 juta,” jelasnya lagi sambil menyifatkan bahawa Tun Ahmad Fuzi adalah individu yang begitu banyak berusaha di sebalik cadangan pembinaan semula masjid baharu di sini.

KOLEKSI gambar Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (kiri) menerima kunjungan hormat Anwar Ibrahim di kediaman rasmi Seri Mutiara.

Kata Mohamed Khari lagi, sehingga kini jawatankuasanya berjaya mengumpulkan dana sumbangan peringkat kariah sebanyak RM2.6 juta.

Mengambil kira komitmen kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hari ini yang masing-masing RM7 juta dan RM6 juta, beliau percaya baki kira-kira RM4.4 juta lagi dapat dikumpulkan kelak dengan sokongan yang tidak berbelah-bahagi pelbagai pihak terutama Tun Ahmad Fuzi sendiri.

“Pembinaan masjid ini melibatkan komitmen tiga pihak iaitu 60 peratus daripada Kerajaan Persekutuan, 30 peratus daripada Kerajaan Negeri dan 10 peratus daripada dana kutipan peringkat kariah.

“Kalau anggaran pembinaan masjid baharu ini RM20 juta, bermakna sekurang-kurangnya dana sumbangan wakaf yang dikutip peringkat kariah adalah sebanyak RM2 juta sahaja.

“(Justeru,) kita percaya baki (kira-kira RM4.4 juta ini) boleh diperoleh kelak, berdasarkan pengalaman sebelum ini yang mana begitu ramai pihak termasuk TYT (Tun Ahmad Fuzi) sendiri memang komited dalam merealisasikan pembinaan masjid ini,” jelasnya lagi.

SUHAIRY Yahaya (kanan) menunjukkan beberapa perubahan rekabentuk cadangan pembinaan Masjid Lama Sungai Bakap yang dipamerkan di sini, sambil disaksikan oleh Mohamed Khairi Mohd. Isa di sini tadi.

Sebelum itu, Suhairy memberitahu bahawa Masjid Lama Sungai Bakap mula mendapat perhatian peringkat Kerajaan Negeri dan MAINPP mungkin mengambil kira beberapa pencapaian yang dirangkul dalam beberapa tahun belakangan ini.

Menurut beliau, Masjid Lama Sungai Bakap diiktiraf sebagai penyumbang tabung dana wakaf tertinggi kepada Wakaf Pulau Pinang bagi tahun 2020 hingga 2022.

Selain itu, beliau berkata masjid ini juga pada tahun 2022 dipilih sebagai Johan Penganjuran Pengimarahan Masjid Kategori B (Masjid Luar Bandar) Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Itu, katanya lagi, belum mengambil kira kejayaan tadbir urus KAFA di bangunan bersebelahan masjid ini, yang mana berada pada kedudukan antara terbaik dalam keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) peringkat negeri.

“Beberapa pencapaian hasil usaha sekalian anak kariah dalam beberapa tahun ini, mungkin menarik perhatian pelbagai pihak untuk melihat juga keperluan untuk membina bangunan baharu masjid di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap.

“Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri pun telah menjelaskan bahawa pemberi wakaf terdahulu bagi Masjid Lama Sungai Bakap adalah ‘tidak terputus’ manfaat mereka apabila dibina masjid baharu ini, jadi tiada isu berbangkit jika bangunan masjid baharu dibina di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap.

“Selama tempoh pembinaan masjid baharu ini, sebuah bangunan sementara untuk anak-anak kariah mengadakan solat jemaah akan dibina di suatu kawasan bersebelahan tapak masjid ini.

“Oleh kerana kawasan pembinaan semula masjid baharu ini akan turut melibatkan tapak bangunan kelas KAFA sedia ada, pelajar-pelajar dalam tempoh pemajuan kira-kira dua tahun ini akan ditempatkan sementara di ‘sekolah pondok’ berhampiran iaitu Madrasah Irshad Al-Asyraf Al-Wataniah,” ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa reka bentuk masjid baharu ini nanti turut terdiri daripada 10 kelas KAFA.

ILUSTRASI kompleks bangunan baharu Masjid Lama Sungai Bakap.
WARTAWAN, Zainulfaqar Yaacob (kanan) menerima cenderamata kenang-kenangan daripada Mohamed Khairi Mohd. Isa (tengah) dan Suhairy Yahaya tadi.

Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sumbangan wakaf bagi pembinaan semula masjid baharu ini boleh dibuat melalui nombor akaun bank CIMB (8600993415) atas penama Masjid Lama Sungai Bakap.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Mohamed Khairi (019-542 6940) atau Suhairy (012-405 1624).