Projek ekopelancongan Kuala Haji Ibrahim bakal tingkatkan sosioekonomi komuniti setempat – Exco

Admin
f7328d4d 0729 4c52 9455 7d0e4a9eb4fe KHALID Ramli (empat dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan bantuan khemah penjaja dan apron kepada wakil penjaja dalam majlis berkaitan, sambil disaksikan oleh Rashidi Zinol (lima dari kiri) dan beberapa pemimpin lain di sini pada 30 Disember 2024.

SUNGAI ACHEH – Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol berkata bahawa usaha mewujudkan projek ekopelancongan desa di sekitar Kuala Haji Ibrahim dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh bukan sahaja akan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat, malah menambah satu lagi destinasi menarik dalam peta pelancongan Pulau Pinang.

 

a5b2691f 31b8 4ac5 9d1a fa3e338e2f86
RASHIDI Zinol

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh merakamkan penghargaan atas komitmen Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli yang menyumbangkan sebuah bot dan 200 unit khemah penjaja bagi memulakan projek ekopelancongan desa tersebut.

“Terima kasih atas kesudian Tan Sri (Khalid) turun serta melihat sendiri potensi Kuala Haji Ibrahim, betapa berpotensi kawasan ini kalau kita bangunkan projek ekopelancongan.

“Apabila dibangunkan projek ekopelancongan, akan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” jelasnya dalam sidang media berkaitan, seusai Majlis Peluncuran Projek Ekopelancongan dan Pembangunan Sosioekonomi Bumiputera di sini pada 30 Disember 2024.

 

f0ee91d8 376e 44ec 8e45 ddcdbb8575c0
ACARA penyampaian replika cek sumbangan bantuan bot kepada wakil nelayan lokal di sini pada petang tadi.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shida Irwana Omar serta pasukannya selaku agensi pelaksana Projek Ekopelancongan Sungai Acheh di sini.

 

8545d9e2 c917 4d7d 8e00 f7e4450ee93c
KHALID Ramli

Bercakap dalam sidang media sama, Khalid merakamkan penghargaan kepada Rashidi kerana membentangkan projek ekopelancongan di Kuala Haji Ibrahim, dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, sebelum ini.

“Usaha mewujudkan projek ekopelancongan (dekat Kuala Haji Ibrahim) ini adalah buah fikiran Datuk Rashidi (yang mana) beliau bawa kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

“Saya lihat tempat ini (sekitar Kuala Haji Ibrahim) mempunyai kelebihan dari segi khazanah alam semula jadi yang baik, dengan adanya kawasan paya bakau yang boleh dimanfaatkan.

“(Usaha mewujudkan projek ekopelancongan desa) ini supaya komuniti di Sungai Acheh ini dapat peluang untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka,” jelasnya lagi.

 

191cd68c d089 4aab 80e5 1bd46baa324f
KHALID Ramli (depan sekali, kiri) dan Rashidi Zinol (depan sekali, kanan) menyempurna acara gimik perasmian bot baharu yang disumbangkan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang kepada persatuan nelayan lokal untuk pemula Projek Ekopelancongan Sungai Acheh di sini tadi.

Baginya, cadangan Rashidi untuk mewujudkan projek ekopelancongan di sekitar Kuala Haji Ibrahim di sini adalah selaras Rangka Kerja Transformasi Pelancongan Mesra Muslim yang dilancarkan di Pulau Pinang oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim pada pada 5 Ogos lepas.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zairi Mat Ali; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim; Yang di-Pertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang merangkap Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Dato’ Zainal Abidin Dato’ Abd. Malik; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang, Dr. Annuar Mohamed dan Pegawai Perikanan Negeri Pulau Pinang, Nor Haida Ishak turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD