Projek fizikal PNBCAP jangka siap 2027

Admin
196f97b2 147b 488a 9ff4 a07bfa75a9cd

BAYAN LEPAS – Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi (PNBCAP) akan melibatkan beberapa langkah utama bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan yang sering terjejas.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari berkata bahawa bagi menangani isu banjir di kawasan kejiranan Bayan Baru, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang bakal melaksanakan dua projek di bawah PNBCAP yang mana ia merupakan perintis hasil kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).

“Projek bagi membantu bandar-bandar menyesuaikan diri dengan perubahan iklim serta cuaca ekstrem melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi ini telah lama dirancang, dan ia bakal memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Fasa pertama projek ini akan melibatkan kerja-kerja di kawasan tertentu, termasuk pembinaan saliran baru dan pengubahsuaian sistem saliran sedia ada,” ujarnya pada sidang media di sini 3 Disember lalu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPS Negeri, Ahmad Kamal Jamaludin; Penolong Pengarah Kanan JPS Negeri, Haslinda Mohamad Hamran; Pengurus Projek PNBCAP UN-Habitat, Dr. Kwan Soo Chen serta wakil-wakil kontraktor untuk dua projek PNBCAP berkaitan.

Sementara itu, Ahmad Kamal menyatakan bahawa bahawa kawasan kejiranan Bayan Baru dipilih untuk pelaksanaan PNBCAP bagi membantu mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.

“Program PNBCAP adalah yang pertama seumpamanya dalam negara dan antara tiga pihak yang terlibat berhubung pelaksanaannya adalah JPS, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Think City.

“Di samping itu, Pulau Pinang turut menerima geran sebanyak USD10 juta daripada Dana Adaptasi untuk program PNBCAP ini,” ujarnya.

Difahamkan, kedua-dua projek tersebut iaitu Kolam Takungan Air di Lintang Nibong dan inisiatif Blue Corridor di sepanjang Sungai Keluang dijangka siap pada 2027.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI