Projek Infra beri keselesaan 3 buah kampung

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

KEADAAN jalan yang tidak sekata dan berlubang membahayakan pengguna. JALAN bertar di Kampung Nelayan, Sungai Batu yang telah siap diturap.
KEADAAN jalan yang tidak sekata dan berlubang membahayakan pengguna.

BAYAN LEPAS – Para penduduk di tiga buah kampung di sini mampu menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk menaiktaraf jalan sedia ada telah diberi perhatian oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim baru-baru ini.

Tiga buah kampung yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas tersebut telah terpilih untuk menerima dana peruntukan ahli majlis pada tahun lalu melalui Projek Infra membabitkan kerja-kerja penurapan semula jalan kampung dan membaiki jalan-jalan yang berlubang

Iszuree berkata, kerja-kerja penurapan jalan dan membaiki jalan yang rosak adalah melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Nelayan di Sungai Batu, Bandar Perda Teluk Kumbar dan Kampung Batu Uban.

JALAN bertar di Kampung Nelayan, Sungai Batu yang telah siap diturap.
JALAN bertar di Kampung Nelayan, Sungai Batu yang telah siap diturap.

“Kerja-kerja penurapan dan pembaikan ini telah siap sepenuhnya awal Januari tahun ini. Sebanyak lebih kurang RM19,000 telah diperuntukkan daripada dana yang diberikan untuk kampung-kampung tersebut menikmati jalan bertar yang lebih selesa dan sempurna.

Tambah beliau, projek infra hanya melibatkan jalan-jalan di kampung dan bandar kecil. Jalan Persekutuan atau jalanraya di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah tidak termasuk sama sekali.

“Walaupun terdapat beberapa permohonan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) yang diterima, namun, beberapa faktor harus diambilkira. Kita (MPPP) akan memberikan keutamaan kepada permasalahan yang penting dan benar-benar menjadi keperluan penduduk terlebih dahulu,” ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.