Projek infrastruktur bekalan air di SPS bukan kerana PRK Sungai Bakap

Admin
whatsapp image 2024 06 27 at 12.53.50

GEORGE TOWN – Semua projek infrastruktur bagi menambah baik pembekalan air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah projek secara berterusan, bukan hanya pada musim pilihan raya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa setiap projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri memerlukan perancangan yang teliti dan mengambil masa sehingga beberapa tahun untuk disiapkan.

“Isu bekalan air di kawasan SPS terutamanya Sungai Bakap bukan tiba-tiba berlaku semasa pilihan raya kecil (PRK), sebaliknya masalah ini telah dihadapi penduduk sejak beberapa tahun yang lalu.

“Sebab itu, kalau kita lihat ada projek yang kita rancang telah berjaya disiapkan pada tahun lepas dan tahun 2024, tidak ada kena-mengena dengan PRK Sungai Bakap yang sedang berlangsung.

“Semua projek yang kita terangkan ketika ini adalah disebabkan isu air banyak dibangkitkan sempena PRK Sungai Bakap dan Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk memberikan respons mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd. (PBAHB) dekat sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sekali gus menolak dakwaan kononnya projek infrastruktur air yang dilaksanakan adalah disebabkan adanya PRK Sungai Bakap semata-mata.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Mohamad Abdul Hamid; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan dan Ketua Pegawai Kewangan PBAHB, Dr. Mary Ann Harris.

Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur tersebut juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap masalah air yang dihadapi oleh penduduk di SPS terutamanya di Sungai Bakap sejak beberapa tahun lalu.

“Projek-projek ini telah siap mengikut jadual yang ditetapkan, dan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak lepas tangan terhadap masalah dihadapi penduduk di daerah SPS.

“Pada masa ini juga, kami (Kerajaan Negeri) sedang memantau keadaan dengan lebih dekat dan setakat ini kami tidak menerima banyak aduan mengenai masalah bekalan air sepanjang tempoh kempen berlangsung,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun 2023 dan suku pertama tahun ini, PBAPP telah menyiapkan beberapa projek strategik membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM33.72 juta.

Antara projek strategik utama yang telah disiapkan adalah modul rawatan air DAF di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor untuk meningkatkan bekalan air sebanyak 10 juta liter sehari (JLH) di SPS.

Selain itu, PBAPP juga telah menyiapkan projek LRA Mudah Alih di Taman Sungai Duri Indah bagi mengurangkan isu air terputus-putus di kawasan SPS.

Di samping itu, PBAPP turut melaksanakan pemasangan tangki sedutan di Taman Widuri dan Taman Wellesley untuk mengurangkan masalah air di kawasan kejiranan di SPS.

Penggantian dua unit injap kawalan utama 1.2 meter (m) di LRA Sungai Dua dan beberapa projek kerja air sampingan di 22 lokasi lain di seluruh negri bagi mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual turut dilaksanakan.

Malah, PBAPP juga melaksanakan kerja-kerja pelencongan saluran paip untuk menyambung dua saluran paop 600 milimeter (mm) di Sungai Perai sebagai respons kepada kejadian saluran paip dasar Sungai 1.35m yang pecah dan telah menjejaskan 120,000 pengguna di negeri ini.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI