PADANG LALANG – Isu penarafan perkhidmatan Rapid Ferry Sdn. Bhd. termasuk kelulusan peruntukan Persekutuan sebanyak RM30 juta untuk pembelian feri baharu merupakan antara tiga isu utama berkaitan kepentingan rakyat Pulau Pinang yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama Menteri Pengangkutan di ibu negara Khamis lalu.
Dua isu utama lain, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, adalah mengenai projek penarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan status permohonan projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) George Town ke Bayan Lepas.
Beliau menyatakan bahawa Putrajaya wajar menangguhkan semua cadangan projek pembesaran lapangan terbang serta pembinaan projek lapangan terbang baharu sehingga kajian strategik yang dilaksanakan siap sepenuhnya.
“Tetapi dalam mesyuarat itu, saya mengulangi supaya kita (Pulau Pinang) dikeluarkan daripada kajian (strategik) ini memandangkan kita (Pulau Pinang) memang sudah memulakan kerja-kerja dua tiga tahun sebelum ini dan bersedia untuk melaksanakan (cadangan projek pembesaran PIA),” jelasnya sejurus merasmikan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Dan Kibarkan Jalur Gemilang dekat Rumah Pangsa Desa Wawasan di sini pada 29 Ogos 2020.
Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya mengambil maklum mengenai rancangan Penang Port Sdn. Bhd. untuk mengambil alih keseluruhan operasi perkhidmatan feri mulai 1 September dengan kelulusan peruntukan Persekutuan sebanyak RM30 juta untuk pembelian feri baharu.
“Operasi feri kini memberi perkhidmatan kepada pejalan kaki, penunggang motosikal serta basikal dan pemandu kereta serta lori kecil.
“Kita minta (Kementerian Pengangkutan) kaji dan dikekalkan semua jenis perkhidmatan ini memandangkan ia masih merupakan pengangkutan awam yang penting.
“Pihak Kementerian akan membuat pelan yang menyeluruh dan bentangkan kepada Kerajaan Negeri, sebelum satu keputusan dibuat.
“Tetapi tempoh kajian itu ringkas sahaja sebab Kerajaan Persekutuan memang mahu meningkatkan mutu perkhidmatan feri dengan apa yang diputuskan sebelum itu,” ulasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.
Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa cadangan pembinaan LRT di Pulau Pinang masih dalam perhatian kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Apabila semua isu teknikal dibereskan, maka kita (Kerajaan Negeri) minta Kementerian menimbang untuk memberikan kelulusan pada skim rel LRT dari Komtar ke Bayan Lepas.
“Jadi, kita (rakyat Pulau Pinang) mahu Kerajaan Persekutuan mengumumkan apa-apa keputusan, perlu saling berbincang dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu, beri masa untuk kita (Kerajaan Negeri meneliti serta memberi maklum balas, bukan tiba-tiba buat keputusan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Kheong turut sertai sidang media tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING