Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bermula 15 Oktober, sila patuh arahan pengurusan trafik

Admin
ec8682d1 a231 4f6c af12 5cdefa541af4

GEORGE TOWN – Projek Kereta Kabel Bukit Bendera dijangka bermula secara fizikal pada 15 Oktober depan.

Justeru, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC), Dato’ Cheok Lay Leng berharap, orang ramai mematuhi arahan pengurusan trafik di lokasi berhampiran pembinaan kelak.

“Bagi Fasa 1, tempoh penutupan jalan adalah bermula 15 Oktober ini sehingga 30 Jun 2026 melibatkan penutupan sebahagian jalan bermula persimpangan Jalan Kebun Bunga ke Lorong Air Terjun, sebelum pangsapuri Park Avenue.

“Kenderaan pembinaan hanya akan memasuki Jalan Kebun Bunga dan jalan jip pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2:30 petang hingga 4 petang sahaja, Sabtu, Ahad dan cuti umum tiada kenderaan pembinaan akan masuk.

“Taman Botani masih dibuka seperti biasa cuma parkir khas telah ditetapkan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) akan meletakkan pengawal di setiap kawasan tertentu untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan menjamin keselamatan,” ujar Lay Leng dalam satu sidang media di Komtar pagi tadi.

Penutupan Fasa 2 akan dimaklumkan sebaik sahaja pembinaan sudah meliputi di kawasan Jalan Viaduct (Bukit Bendera).

Turut hadir, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria dan wakil Hartasuma Sdn. Bhd. selaku kontraktor projek.

whatsapp image 2024 09 20 at 12.36.50

Lay Leng menasihatkan pengunjung untuk tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan sebaliknya menggunakan parkir yang dikhaskan sahaja bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini atau kesesakan ke Taman Botani.

“Tiga tempat letak kereta disediakan, satu di Waterfall Hilltop Temple, parkir Taman Bandaraya (Youth Park) dan parkir Nattukkotai Chettiar Temple.

“Namun parkir adalah terhad, oleh itu pengunjung digalakkan untuk kongsi kereta atau menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif bagi mengelakkan kesesakan di kawasan tersebut,” katanya lagi.

PHC dan Hartasuma Sdn. Bhd. akan memastikan semua standard dan prosedur keselamatan dipatuhi dan orang ramai diminta mematuhi arahan keselamatan dan papan tanda yang dipasang di tapak.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Unit Komunikasi Korporat PHC di talian 04-8288880 atau Pengurus Pembangunan Perniagaan Hartasuma Sdn. Bhd., 017-3126223.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR