Projek lebar jalan ke Autocity terlewat sebab kerja alih utiliti TNB masih dilaksanakan, respons Exco

Admin
ZAIRIL Khir Johari

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa projek pelebaran Jalan Perusahaan di Autocity, sehingga persimpangan lampu isyarat dekat Taman Perindustrian Ringan Juru dijangka siap sepenuhnya pada pada Februari 2025.

Beliau berkata jangkaan itu mengambil kira kerja-kerja pengalihan utiliti sedia ada oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang masih dalam peringkat pelaksanaan serta dijangka siap pada Februari tahun depan.

“Projek di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai agensi pelaksana ialah di Fasa 2 iaitu dari Autocity sehingga ke persimpangan Taman Seri Delima; manakala, untuk Fasa 3 iaitu dari persimpangan Taman Seri Delima sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Juru akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang (JKRPP) kelak,” jelasnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberitahu bahawa status terkini untuk Fasa 2 ialah kerja-kerja pengalihan utiliti TNB, kerja-kerja penanaman paip penyalur (ducting pipe) dan kerja-kerja pengorekan tanah telah disiapkan.

Tambah beliau, kontraktor utama untuk projek Fasa 2 tersebut kini dalam proses membekalkan kabel untuk Sub-Kontraktor Dinamakan (NSC) melaksanakan baki kerja-kerja pengalihan utiliti di kawasan pembangunan tersebut.

“Kerja-kerja pembinaan pelebaran jambatan kecil bersebelahan premis Isuzu (Automotive Corporation Malaysia) Auto City hanya dapat dijalankan selepas kerja-kerja pengalihan utiliti TNB selesai
dijalankan.

“Keseluruhan kerja-kerja pembinaan ini dijangka siap pada Februari 2025,” ujarnya.

Sebelum pada itu, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dalam Sesi Soal Jawab Lisan memberitahu bahawa pihaknya menerima banyak aduan disebabkan projek pelebaran jalan ke Autocity tersebut lewat siap.

Oleh : ZAINULFQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR