‘Projek Lorong Bas’ diharap berjaya pertingkat mutu perkhidmatan Rapid Penang

dsc 8856

GEORGE TOWN – Selaras dengan fokus untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, Rapid Penang bersama-sama Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama melaksanakan projek percubaan lorong bas di sebahagian Jalan Penang dan Jalan Ria.

dsc 8788
ZAIRIL semasa sidang media sebentar tadi.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa projek tersebut adalah bertujuan membantu mengurangkan masa perjalanan bas terutama pada waktu puncak.

“Menjelang 19 November ini, ‘Projek Lorong Bas’ ini akan mula dilaksanakan secara percubaan selama tempoh enam bulan.

“Operasi lorong bas percubaan ini adalah pada setiap hari termasuk hari cuti umum dan telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu bermula jam 6:30 pagi hingga 9 pagi serta 4:30 petang hingga 8 malam.

“Seperti yang sedia maklum, kesesakan lalu lintas telah memberi kesan terhadap keefisienan perkhidmatan bas Rapid Penang yang kadang kala mengalami kelewatan untuk sampai ke setiap perhentian bas.

“Justeru, adalah diharapkan agar percubaan projek ini berjaya dilaksanakan dan berjalan dengan lancar.

“Sekiranya pengguna boleh menyesuaikan diri dengan projek ini, maka tidak mustahil untuk kita cuba di laluan lain pula,” ujarnya semasa sesi sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Muhammad Yazurin Salij dan Ketua Wilayah Utara Rapid Bus Sdn. Bhd., Ahmad Shabuddin Abdullah.

dsc 8808
MUHAMMAD Yazurin.

Sementara itu, Muhammad Yazurin turut menyasarkan peningkatan bilangan penumpang sejurus pelaksanaan projek tersebut.

“Pihak kami menjangkakan frekuensi yang lebih baik di mana waktu perjalanan bakal disingkatkan sehingga tempoh enam minit melibatkan sebanyak tujuh buah bas yang berbaki untuk ke laluan lain.

“Jika usaha ini dilanjutkan, saya menjangkan seramai 8,000 pengguna bakal menaiki bas Rapid Penang untuk cepat sampai ke destinasi,” katanya.

dsc 8805
AHMAD Shabuddin.

Ahmad Shabuddin dalam pada itu turut memaklumkan bahawa hanya (beberapa) jenis kenderaan sahaja yang dibenarkan melalui lorong tersebut.

“Kenderaan yang dibenarkan menggunakan lorong bas ini hanya bas awam, bas persiaran, teksi dan kenderaan kecemasan.

“Bagi kenderaan ‘e-hailing’ adalah tidak dibenarkan, justeru kerjasama pengguna jalan raya diharap dapat memastikan percubaan lorong bas ini mencapai matlamatnya dan berjaya dilaksanakan,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, pada peringkat awal pelaksanaan projek ini, anggota penguatkuasa MBPP bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan bagi mengawal kelancaran aliran lalu lintas.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT