Projek LRT Laluan Mutiara libatkan jajaran dari pulau ke Seberang Perai

Admin
whatsapp image 2025 01 02 at 14.50.24

GEORGE TOWN – Pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Laluan Mutiara akan melibatkan jajaran dari pulau ke Seberang Perai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) Sdn. Bhd. sebagai agensi pelaksana telah mengeluarkan notis tender kedua pada 2 Januari 2025 untuk melantik kontraktor bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pertauliahan dan penyelenggaraan projek berkenaan.

“Perolehan projek adalah terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu untuk kerja-kerja pembinaan sivil serta struktur seperti membina tiang-tiang dan depoh bagi Segmen 1 yang membabitkan jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar.

“Segmen 2 pula adalah kerja-kerja pembinaan sivil dan struktur membabitkan jajaran dari Komtar (Macallum) ke Penang Sentral, dan kontrak turnkey kerja-kerja sistem sistem dan gerabak bagi Segmen 3.

“Semua kerja-kerja pembinaan bagi ketiga-tiga segmen perlu berjalan serentak bagi membolehkan LRT Laluan Mutiara dapat beroperasi,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Setiausaha Sulit Kanan Pejabat Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.

whatsapp image 2025 01 02 at 15.21.12
Notis tender kali kedua yang disiarkan melalui akhbar New Straits Times (NST) pada 2 Januari 2025.

Pada masa sama, Kon Yeow berharap agar syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan dan memenuhi kelayakan ditetapkan dipelawa untuk menyertai tender projek LRT Laluan Mutiara.

“Sebelum ini, banyak syarikat yang mengemukakan pertanyaan kepada Kerajaan Negeri mengenai tender projek LRT (Laluan Mutiara), jadi sekarang sudah tiba masanya syarikat-syarikat yang berkelayakan serta memenuhi syarat membida kerja-kerja ini daripada MRT Corp.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap agar kontraktor-kontraktor atau sub kontraktor tempatan diberi kesempatan dalam melaksanakan projek LRT Laluan Mutiara sesuai dengan kebolehan dan kelayakan mereka.

“Justeru, syarikat-syarikat berkelayakan dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan bolehlah berhubung terus dengan pihak MRT Corp mengenai perkara ini,” katanya.

Tambah Kon Yeow, SRS Konsortium sebagai kontraktor yang dilantik telah mengadakan rundingan dengan pihak MRT Corp bagi memuktamadkan isu-isu berkaitan teknikal dan nilai kontrak.

“Atas permintaan Kerajaan Negeri, SRS Konsortium dijemput sebagai kontraktor yang dilantik untuk berunding dengan MRT Corp dalam isu teknikal srta kos projek.

“Rundingan adalah melibatkan pembinaan sivil dan struktur bagi Segmen 1 iaitu dari Pulau Silikon ke Komtar,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kerja-kerja pengambilan tanah bagi projek LRT Laluan Mutiara berjalan lancar dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Kebanyakan tanah-tanah yang terlibat adalah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri atau Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) serta tanah persendirian,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN