Projek naik taraf diharap dapat kurangkan kesesakan di Hospital Seberang Jaya

Admin
img 8002 Daniel Gooi Zi Sen (berbaju putih) ketika mengadakan lawatan ke bangunan baharu Hospital Seberang Jaya baru-baru ini.

SEBERANG JAYA – Projek menaik taraf Hospital Seberang Jaya (HSJ) dijangka siap pada penghujung tahun ini, kata Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.

Menurut Gooi, dengan komitmen padu yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan, projek menaik taraf tersebut diharap akan berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

whatsapp image 2024 03 11 at 12.27.47 pm
Bangunan baharu Hospital Seberang Jaya yang masih dalam pembinaan.

“Ini penting bagi menangani masalah kesesakan di Hospital Seberang Jaya yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan projek penting seperti ini akan berjaya supaya dapat memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada orang ramai.

“Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pengumuman dan kelulusan sejumlah RM1 juta kepada Hospital Seberang Jaya,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, projek menaik taraf Hospital Seberang Jaya yang bermula pada 2016 menelan kos kira-kira RM500 juta, merangkumi kerja-kerja menambah baik kemudahan seperti katil, unit rawatan rapi dan tempat letak kereta.

Sebelum ini, Anwar juga telah mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembelian mesin ventilator, tangki air, peralatan ultrabunyi dan bilik laktasi di hospital tersebut.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut mendapatkan beberapa responden untuk mengetahui harapan mereka terhadap projek menaik taraf hospital tersebut.

whatsapp image 2024 03 11 at 12.27.45 pmJuruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ilyas Che Wi berharap agar projek menaik taraf Hospital Seberang Jaya dapat mengurangkan masalah kesesakan di hospital berkenaan apabila siap kelak.

“Saya juga diberitahu projek naik taraf ini turut merangkumi pembinaan blok baharu iaitu bangunan bertingkat dengan kemudahan baharu, malah beberapa perkhidmatan hospital sedia ada juga akan dipindahkan ke sana.

“Ini adalah berita baik untuk mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu yang lama di hospital sedia ada,” katanya.

whatsapp image 2024 03 11 at 12.34.10 pmBagi jurutera perisian, Nur Muhammad Aliff Shariff, beliau memuji Kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan peruntukan yang diperlukan untuk projek menaik taraf HSJ.

“Saya juga berharap agar apabila kerja menaik taraf ini diap kelak, kemudahan tempat letak kenderaan adalah mencukupi demi memudahkan pesakit yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ini kerana ketika ini kami terpaksa meletakkan kenderaan di luar kawasan hospital dan terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke hospital,” ujarnya.

R. Krishnan berharap agar projek junlah doktor pakar akan ditambah bagi memendekkan waktu menunggu yang kini mengambil masa dua hingga tiga jam.

whatsapp image 2024 03 11 at 12.27.46 pm (1)“Bagi saya yang perlu kerap datang ke hospital memang menyambut baik projek menaik taraf ini dan berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin.

“Walaupunn saya datang awal pagi kira-kira jam 7.30 pagi tetapi terpaksa menunggu lama untuk berjumpa doktor kerana jumlah pesakit yang sangat ramai.

“Selain waktu menunggu yang lama, masalah kekurangan tempat letak kenderaan juga perlu diatasi selepas projek menaik taraf siap kelak,” katanya yang menghidap penyakit asma.

whatsapp image 2024 03 11 at 12.27.46 pmFasihah Mohamad pula berharap agar kesesakan di bangunan hospital sedia ada dapat dikurangkan selepas projek menaik taraf siap kelak.

Katanya, ketika ini dia terpaksa menunggu selama dua hingga tiga untuk mendapatkan tempat di wad hospital untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit buah pinggang yang dihadapainya.

“Saya datang ke hospital setiap bulan untuk mencuci buah pinggang dan setiap kali datang keadaan sentiasa sesak menyebabkan saya terpaksa menunggu lama.

“Kalau ada jangkitan kuman, saya terpaksa berada di wad sehingga dua minggu… oleh itu, saya berharap agar bangunan baru nanti dapat menyediakan bilik khas untuk pesakit seperti kami demi keselesaan,” katanya yang bekerja sebagai operator kilang.

whatsapp image 2024 03 11 at 3.29.56 pmAlex Wong Bun Chuan berkata, projek menaik taraf Hospital Seberang Jaya diharap dapat mengoptimumkan perkhidmatan hospital tersebut dan membolehkan pesakit mendapatkan rawatan perubatan dalam persekitaran yang lebih baik.

Berkongsi pengalaman ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya suatu ketika dahulu, Alex berkata dia sering berdepan masalah parkir dan terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan.

“Ini menyebabkan saya berasa bimbang sama ada kereta akan tercalar atau dikompaun oleh pihak berkuasa.

“Justeru, saya berharap agar selepas bangunan baru ini dibuka nanti, ia bukan sahaja dapat memberikan kemudahan kepada penduduk setempat, malah dapat meningkatkan kualiti kesihatan awam di Seberang Perai,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR