Projek naik taraf HPP fasa 2 siap Februari depan, umum Exco

Admin

GEORGE TOWN – Projek naik taraf Hospital Pulau Pinang (HPP) kini telah mencapai  tahap 99 peratus dan pembangunan fasa dua tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari depan.

 

Perkara tersebut dimaklumkan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika melakukan lawatan kerja bagi meninjau keadaan terkini kerja-kerja naik taraf fasa dua di hospital berkenaan di sini semalam.

 

Afif ketika ditemui berkata, projek naik taraf HPP fasa dua tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu menaik taraf sistem penyaman udara dan sistem elektrik di Dewan Bedah Utama (GOT), penyaman udara di jabatan/klinik pakar dan naik taraf bangunan Pediatric Intensive Care Unit (PICU).

 

“Alhamdullilah selepas beberapa tindakan diambil pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) bersama-sama pihak hospital dan kontraktor, malah Pengarah JKR juga turun ke Pulau Pinnag untuk melihat masalah ini, kita telah mencapai perkembangan memberangsangkan.

 

“Kemajuan ditapak kini telah mencapai 99 peratus, ada baki lebih kurang enam minggu lagi untuk siapkan keseluruhan projek fasa dua ini dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2019.

 

“Diharap dengan siapnya kerja-kerja naik taraf fasa dua ini dapat memulihkan dan kembalikan semula rawatan dan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Pulau Pinang dan wilayah utara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

 

Hadir sama Pengarah HPP, Datuk Dr. Norsidah Ismail, wakil-wakil daripada JKR dan pihak kontraktor.

 

Terdahulu, pada Jun 2018 masalah kelewatan yang berlaku pada projek berkenaan terutamanya membabitkan GOT telah mendapat perhatian pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, malah Afif sendiri selaku exco bertanggungjawab telah turun padang melihat kepada permasalahan tersebut.

Menurut Afif, kerja-kerja penaiktarafan GOT akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) HPP.

 

“GOT yang pernah menjadi isu sebelum ini sehingga tular di media sosial dijangka dapat memulakan operasi seawal bulan Mac depan.

 

“Untuk makluman semua, HPP ini sememangnya sangat sibuk kerana ia juga merupakan pusat rujukan pakar bagi wilayah utara.

 

“Selain GOT, PICU juga merupakan komponen penting yang dinaiktaraf iaitu daripada lapan katil sedia ada kepada 12 katil kesemuanya dengan suasana dan ruang yang lebih luas dan selesa,” ujarnya lanjut.

 

Mengulas mengenai penambahbaikan yang akan dijalankan di HPP pada masa hadapan, Afif dalam responsnya berkata beberapa projek naik taraf kini sedang dalam perangkaan dan perancangan pihak Kerajaan Persekutuan yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

 

“Harapan Kerajaan Negeri fasa-fasa naik taraf selepas ini tidak akan berlaku kelewatan lagi dan dilaksanakan sebagik mungkin oleh kontraktor dan pihak JKR agar perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang dapat diberikan pada kadar optimum dan terbaik untuk rakyat.

 

“Empat projek yang bakal menyusul iaitu menaik taraf Surgical Block dan wad pesakit, unit stemcell, hospital ibu dan kanak-kanak serta kuarters pekerja,” jelas beliau.