Projek naik taraf jalan sekitar Bukit Tambun jangka siap November ini

Admin
曹观友(左3)、吴俊益(右3)、杨顺兴(左2)等人巡视武吉淡汶路。

BUKIT TAMBUN – Kerja-kerja penaiktarafan jalan di kawasan Bukit Tambun membabitkan kos RM2.4 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan bakal bermula akhir Ogos dan dijangka siap pada November tahun ini.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek pembangunan infrastruktur kecil awam itu adalah bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal di kawasan terbabit.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan, dedicated u-turn dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan Bukit Tambun yang menelan kos RM500,000.

“Projek lain adalah menaik taraf persimpangan jalan dan lain-lain kerja berkaitan di Persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan juga berjumlah RM500,000.

“Kedua-dua projek yang dicadangkan ini akan dilaksanakan serentak dan sekarang kita dalam proses menyediakan serta menjual sebut harga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini pagi tadi.

Ketua Menteri bersama-sama Goh Choon Aik dan kakitangan JKR menunjukkan pelan pembinaan projek di sekitar Bukit Tambun.

Hadir sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.

Pada 15 Julai lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima kelulusan bagi lima projek khas untuk meningkatkan mutu aliran trafik di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).

Tiga lagi projek adalah membabitkan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar atau hilang dan lain-lain kerja berkaitan di sepanjang Jalan Bukit Tambun serta Jalan Paboi dengan kos RM400,000.

Selain itu, projek ini juga melibatkan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar atau hilang di Jalan Ipoh-Butterworth Jalan Transkerian – Jalan Bukit Panchor serta kerja-kerja mengecat garisan jalan di Jalan Transkerian – Jalan Bukit Panchor dan Jalan Trankrin yang mana masing-masing menelan kos RM500,000.

Laluan ke Jalan Paboi kerap berdepan masalah lalu lintas yang ktitikal.

Sejurus selepas itu, Kon Yeow turut mengadakan lawatan ke Bandar Tasek Mutiara bagi meninjau permasalahan berkaitan pembinaan infrastruktur jalan yang dihadapi oleh kira-kira 7,000 penduduk di kawasan berkaitan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini dalam proses pengambilan tanah di antara Jalan Tasek Mutiara 10 dan Jalan Hijauan Hills 1 daripada pihak pemaju.

Kon Yeow memberitahu bahawa pengambilan tanah tersebut adalah bagi membina jalan pintas (bypass) bagi menghubungkan laluan di antara kedua-dua jalan tersebut.

“Projek ini adalah penting untuk meningkatkan akses kepada penduduk di kawasan ini yang terpaksa menggunakan jalan utama untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Ketua Menteri sedang mendengar luahan daripada penduduk setempat berkaitan masalah infrastruktur jalan di kawasan Bandar Tasek Mutiara.

“Ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan lebih jauh yang mengambil masa kira-kira 30 minit walaupun jarak dari rumah ke sekolah hanyalah kurang daripada 1 kilometer (km).

“Jadi setelah selesai proses pengambilan tanah ini, pihak JKR akan terus memulakan kerja pembinaan ‘bypass’ tersebut,” katanya.

Difahamkan, sebanyak lapan buah sekolah yang terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah antarabangsa terdapat di sekitar kawasan berkenaan kini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS