GEORGE TOWN – Projek menaik taraf dan penyelenggaraan Kolam Renang Awam Seberang Jaya kini berada pada pemajuan 72 peratus yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf kolam renang utama, kawasan gimnasium, kaunter tiket, tandas, surau dan kafeteria.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Gooi Zi Sen ketika dihubungi memaklumkan bahawa keseluruhan projek tersebut dijangka siap pada bulan Februari tahun hadapan sebelum kemudahan renang tersebut dibuka kepada orang awam.
Saya mengambil maklum tentang isu kekurangan kemudahan sukan renang awam di kawasan Seberang Perai berikutan penutupan sementara kolam di Stadium Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Maklum balas terkini yang diterima daripada MBSP bahawa fasa akhir ujian kolam berakhir pada 28 November 2023 melibatkan ujian pam bagi menentukan skop kerja pembaikan kolam secara keseluruhan.
“Jadi saya harap projek ini dapat disiapkan dan dibuka semula menjelang Februari 2024 sekali gus dapat menampung keperluan dan permintaan orang awam untuk kemudahan renang tersebut,” ujarnya.
Tambah Zi Sen lagi, Kerajaan Negeri sentiasa bertekad untuk memastikan mutu serta kualiti kemudahan sukan serta rekreasi di negeri ini diselenggarakan secara optimum demi keselamatan dan keselesaan semua.
Terdahulu, pada 26 Oktober lepas, Zi Sen bersama-sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Chai Heng Hua dan Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang (PSDKL), Rashidah Jalaludin mengadakan lawatan kerja bagi meninjau tahap pemajuan projek berkenaan.
Sebagai rekod, pada 1 April 2022, serahan tapak telah dibuat bagi melaksanakan projek menaik taraf dan penyelenggaraan Kolam Renang Awam Seberang Jaya yang terletak di Jalan Betek. Projek ini merupakan inisiatif untuk meningkatkan mutu kemudahan renang dan rekreasi. Ini merupakan projek menaik taraf menyeluruh kali pertama dijalankan sejak tahun 1982.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : EXCO