Projek naik taraf Terminal Bas Sungai Nibong Fasa 1 siap, lebih mesra pengguna

Admin
photo 2024 05 14 16 34 25 H'ng (third from left) signs a commemorative plaque at the opening of the renovated Sungai Nibong Bus Terminal. With him are (from left) Azrudyn, William Lee, Kumaresan, Cheong and Seng Hwai.

BATU UBAN – Projek naik taraf Terminal Bas Sungai Nibong Fasa 1 bernilai hampir RM7 juta yang dilaksanakan sejak tahun 2021 kini telah siap.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, projek secara usaha sama itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf fasiliti fizikal termasuk sistem Easybook Terminal Management System (ETM).

photo 2024 05 14 16 34 24 (1)

“Kemudahan di terminal ini telah dipertingkatkan ke arah mesra pengguna terutama untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas seperti eskalator, lif termasuk sistem pembelian tiket secara dalam talian yang dapat menjimatkan masa serta tenaga.

“Selain itu, kemudahan tempat letak kenderaan (kereta dan motosikal) juga telah diturap dan dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna melalui pemantauan 24 jam,” ujar Mooi Lye ketika hadir pada Majlis Perasmian Terminal Bas Sungai Nibong yang terletak bersebelahan Tapak Pesta Sungai Nibong di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Cheong Chee Hong; Ketua Bahagian Pengurusan dan Pelaburan Harta UDA Holdings Berhad (UDA PIMD), Mohd. Nazri Jamiran; Pengarah Urusan dan Pengasas Easybook (M) Sdn Bhd. (Easybook), William Lee.

Difahamkan, pengurusan terminal milik MBPP itu dikendalikan oleh UDA PIMD menerusi kerjasama strategik dengan Easybook. Easybook juga merupakan syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan kutipan caj terminal, pengurusan dan pengawalseliaan operasi terminal serta pembersihan dan sistem keselamatan terminal sejak Ogos 2021 hingga Ogos 2024.

Mengulas mengenai projek menaik taraf Fasa 2 di terminal tersebut, Mooi Lye memberitahu bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada MBPP.

“Antara kerja-kerja Fasa 2 yang saya difahamkan adalah naik taraf bumbung yang turut melibatkan kontrak penambahan lagi tiga tahun,” katanya yang juga ADUN Jawi.

photo 2024 05 14 16 34 22
Usai majlis berkaitan, wartawan Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual beberapa pengunjung antaranya pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), VANESSA SZE LING yang menggunakan terminal tersebut sejak tahun lepas.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan naik taraf melibatkan tandas, kedai, lif dan tangga elektrik untuk kemudahan umum.

“Namun sekiranya boleh naik taraf dengan keadaan hawa dingin lebih baik,” jelasnya.

Bagi CHOON SOON CHOI, yang sudah 20 tahun menggunakan perkhidmatan bas mengakui bahawa kerja-kerja menaik taraf tersebut menjadikan sistem di Terminal Bas Sungai Nibong lebih sistematik dengan kemudahan lebih selesa.

“Kalau sebelum ini cuma ada tangga biasa, sekarang sudah ada tangga elektrik, lebih senang terutamanya kepada warga emas,” responnya kepada Buletin Mutiara.

Seorang lagi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), SITI NURIZZATI ATIKAH ZAKARIA bersyukur kerana keadaan surau kini lebih selesa selepas kerja-kerja naik taraf.

“Sebelum ini surau agak tidak memuaskan, sekarang bertambah baik lepas dinaik taraf.

“Selain itu, ketepatan masa bas juga lebih baik, teratur dengan menggunakan sistem baharu, jadi lebih mudah nak buat pesanan e-hailing sebelum balik ke rumah,” katanya.

Bagi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai DEWI berkata, kerja-kerja menaik taraf yang turut melibatkan sistem tiket ini lebih memudahkan walaupun dirinya sudah berganjak ke usia emas.

“Kalau beli secara fizikal lebih murah kepada warga emas, bas pun sekarang sampai tepat dengan waktu, kalau boleh tambah penyaman udara akan lebih selesa,” jelasnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI 

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI