Projek naiktaraf Komtar RM40 juta

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) diyakini akan ‘kembali bersinar’ apabila kerja-kerja menaiktaraf bernilai RM40 juta merangkumi premis di tingkat lima, 59, 60 dan 64 bakal dilaksana sebuah syarikat yang berjaya dalam tender terbuka projek berkenaan melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Projek yang bakal mengambil tempoh masa 30 bulan bermula tahun depan bakal menempatkan lif lutsinar berkelajuan tinggi dari tingkat lima ke tingkat 59 dan 60; sebuah dewan bankuet berserta restoran mewah di tingkat lima yang dihubungkan ke Komtar Walk (sedia ada kini) menggunakan tangga elektrik baharu termasuk ruang legar terbuka merangkumi struktur binaan elektrikal, awam dan mekanikal.

Turut tersenarai adalah penaiktarafan empat lif dalam blok menara serta lobi dan pada bahagian puncak menara turut akan disinari lampu laser L.E.D yang boleh dilihat dari jarak jauh.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi PDC, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, syarikat World Equipment Sdn. Bhd. (anak syarikat Only World Group) yang berjaya dalam tender terbuka dijalankan pada 15 Ogos 2010 bakal membangunkan projek berkenaan.

“Syarikat Only World Group (OWG) merupakan pembida terbaik dan mereka (OWG) mempunyai rekod cemerlang dalam membangunkan pusat-pusat pelancongan terkemuka seperti, Genting Highlands, Universal Studio di Singapura, Mines Wonderland, Desa Waterpark, dan Sunway Lagoon,’’ katanya pada Majlis Menandatangani Persetujuan Perjanjian Menaiktaraf Sebahagian Komtar Antara PDC dan OWG di sini baru-baru ini.

Majlis bersejarah tersebut diadakan di puncak menara Komtar dengan turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yow; Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif OWG, Datuk Richard Goh.

Menurut Guan Eng, projek tersebut bakal mengembalikan zaman kegemilangan Komtar yang mempunyai empat tingkat blok podium dan 65 tingkat menara tersohor dan merupakan ikon negeri Pulau Pinang.

ROSLI Jaafar (depan, dua dari kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Richard Goh (depan, dua dari kanan) sambil diperhatikan Ketua Menteri pada Majlis Menandatangani Persetujuan Perjanjian Menaiktaraf Sebahagian Komtar Antara PDC dan OWG di sini baru-baru ini.
ROSLI Jaafar (depan, dua dari kiri) bertukar-tukar dokumen
dengan Richard Goh (depan, dua dari kanan) sambil diperhatikan
Ketua Menteri pada Majlis Menandatangani Persetujuan Perjanjian
Menaiktaraf Sebahagian Komtar Antara PDC dan OWG di sini
baru-baru ini.