Projek Night Shelter konsep Triple Net Zero raih tempat kedua Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri

MENGGUNAKAN tema ‘Triple Net Zero’ sebagai tema dalam pembinaan Rumah Transit Gelandangan di Jalan C.Y Choy telah melayakkan Jabatan Kawalan Bangunan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggondol tempat kedua pada Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri 2023 dalam kategori bukan ICT.

 

 

Kemenangan tersebut melayakkan pasukan daripada MBPP itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM3,000.

 

 

Menurut arkitek jabatan tersebut, FAZREEN DHARLEILA ABDUL JALIL selaku ketua kumpulan, projek yang dinamakan sebagai ‘Night Shelter’ itu menyasarkan sifar penggunaan tenaga, air dan sisa bagi selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diguna pakai pada peringkat global.

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, LAW SUUN TING sempat menemu ramah Fazreen Dharleila dan ahli kumpulan lain untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

 

“Idea ini sebenarnya dicetuskan melalui Exco yang menjaga hal ehwal pembangunan sosial dan kebajikan pada ketika itu untuk melihat sebuah pusat perlindungan yang memenuhi SDG.

 

“Hasrat ini disuarakan kerana seperti yang kita ketahui ‘triple net zero‘ ini selari dengan SDG dalam menurunkan suhu dunia dan apa yang kita dapat rasa bandar raya George Town sendiri memang agak panas.

 

 

 

“Namun bangunan yang kita guna untuk pusat transit ini adalah bangunan warisan yang memang ada ciri-ciri untuk mengalihkan haba melalui konsep ‘air well’.

 

 

“Antara konsep yang diterapkan melalui projek ‘triple waste zero’ ini adalah pemasangan panel solar bagi sumber tenaga, pemasangan lampu LED dan motion sensor untuk lampu, menggunakan air hujan untuk siram pokok, kumpul barangan kitar semula, kumpul sisa makanan untuk ‘pocket farm’ dan sediakan tong kompos,” ujar beliau ketika menerima kunjungan Buletin Mutiara dekat Komtar di sini pagi tadi.

 

 

 

Selain Fazreen Dharleila, Ooi Pen Yee, Wan Mahdzir Yason, Supawadi Een, Muhammad Qais Qayyum Mokhtar dan Juliana Ismail turut bertungkus lumus dalam menjayakan projek triple net zero tersebut.

 

 

 

Hasil daripada projek ‘triple net zero‘ itu kini dapat dinikmati oleh individu yang menumpang di pusat transit tersebut yang dianggarkan seramai lebih 70 orang termasuk orang kurang upaya (OKU).

 

 

 

Tambah Fazreen lagi, bagi anugerah inovasi tempatan, ini merupakan kali pertama projek Night Shelter ini mendapat pengiktirafan dan memenangi anugerah.

 

 

“Kami harapkan projek ini boleh diketengahkan lagi pada peringkat kebangsaan, mungkin ada pihak yang boleh mengangkat idea dan konsep pembangunan ini.

 

 

“(Dan) harapan kami mungkin projek ini juga boleh dipertandingkan pada peringkat antarabangsa kerana memperomosikan SDG yang mana konsep tersebut diselaraskan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

 

 

“Ini kerana projek ini memenuhi 10 daripada 17 SDG yang digariskan oleh PBB sebagai teras panduan bagi merancang dan melaksanakan pembangunan untuk melawan proses perubahan iklim peringkat dunia,” katanya lagi.

 

 

 

Difahamkan, pusat transit yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada 17 Februari 2020 itu dan mula beroperasi pada 9 September lalu kini diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).