Projek Pasar Awam dan Kompleks Makanan Teluk Kumbar dijadual mula November ini – ADUN

367aa955 574f 4090 a063 6a23885441df

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik hasrat Majis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam merealisasikan projek Pasar Awam dan Kompleks Makanan Teluk Kumbar.

Menurut beliau, projek tersebut amat kritikal memandangkan sudah lama tertangguh akibat pelbagai masalah teknikal.

“Yang Berhormat Dato’ Azrul Mahathir Aziz (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bayan Lepas) memang lantang ketengahkan masalah rakyat, daripada isu air, isu kesesakan lalu lintas, isu Pasar Teluk Kumbar yang belum bermula sejak (Dato’) Muhammad Bakhtiar (Wan Chik) berada di MBPP lagi.

“Projek ini secara prinsipnya sudah diluluskan, tetapi akibat beberapa pandangan yang berbeza, akhirnya selepas 10 tahun, ia diluluskan setelah mencari penyelesaian yang baik, dan saya gembira tentang keputusan oleh MBPP tersebut, ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri N38 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di sini petang tadi.

 

cf9af473 2ef2 4796 afa2 97a5b17c3ace

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Nadzri Abd. Rahman, wakil-wakil agensi Persekutuan, negeri dan pemimpin masyarakat setempat.

Turut disentuh oleh Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi adalah mengenai asrama pekerja asing.

Beliau memberitahu bahawa projek tersebut belum mendapat sebarang kelulusan oleh Kerajaan Negeri.

“Projek ini (asrama pekerja asing) adalah projek yang baik sekiranya berada di tempat sesuai, apa yang dicadangkan di Teluk Kumbar dilihat tidak berapa sesuai.

“(Dan) terkini, projek ini masih belum diluluskan dan kita tunggu pemaju untuk kemukakan semula (cadangan lain), adalah diharapkan keputusan dapat dibuat dalam jangka masa pendek sekali,” ujarnya.

Sementara itu, Azrul Mahathir menyatakan bahawa hasil perbincangan bersama MBPP, Pasar Awam dan Kompleks Makanan Teluk Kumbar dijangka boleh dimulakan pada November 2024.

“Sebelum menjadi ADUN sehingga bergelar ADUN dan jadi sekali lagi, saya memang perjuangkan projek ini.

“Saya berharap kali ini projek ini akan direalisasikan, dapatlah memberi manfaat kepada penduduk Teluk Kumbar khususnya,” katanya yang juga Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang.

Dianggarkan seramai 5,000 tetamu dari pelbagai lapisan serta latar belakang hadir memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri yang menyediakan pebagai juadah tradisi termasuk kambing golek, sate, mi kuah dan lain-lain lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT