Projek Pasar Awam Teluk Kumbar jangka mula tahun depan

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri tekad untuk merealisasikan pembinaan Pasar Awam Teluk Kumbar bermula penggal seterusnya bagi kemudahan penduduk setempat.

 

 

Menurut Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, kelewatan pelaksanaan projek berkaitan sebelum ini adalah ekoran kos yang terlalu tinggi dan memerlukan kajian semula.

 

 

“Dalam lima tahun ini pun, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz kerap membangkitkan isu pembinaan pasar awam di Teluk Kumbar.

 

 

“Kerajaan Negeri melalui MBPP juga telah mengambil sebidang tanah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kumbar, dan asalnya MBPP berhasrat membina pasar awam bersama kemudahan-kemudahan moden lain dengan kos RM21 juta.

 

 

“Apa yang dinyatakan selepas itu adalah memperkecilkan skala dan kurangkan komponen, iaitu membina pasar sahaja dan kos dapat diturunkan, MBPP pun bersetuju.

 

 

“Sebentar tadi, saya dimaklumkan bahawa MBPP telah melantik jururunding, kalau semuanya berjalan lancar, kita akan pastikan pada awal tahun depan kontraktor dapat dilantik untuk memulakan kerja,” ujarnya dalam satu pertemuan bersama-sama para penduduk Taman Sahabat, Teluk Kumbar di sini petang tadi.

 

 

Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka jelajah Ketua Menteri dalam membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi calon-calon Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas terus memberi mandat kepada Azrul Mahathir yang dilihatnya sentiasa bekerja keras menangani isu-isu terkait dengan penduduk setempat tanpa mengira waktu.

 

 

“Saya percaya Azrul (Mahathir) seorang ADUN yang amat prihatin dan bekerja kuat di Bayan Lepas serta seorang yang senantiasa berucap untuk menarik perhatian pejabat-pejabat Kerajaan Negeri bagi mengambil tindakan segera dalam sesuatu isu.

 

 

“Saya pun adakalanya ‘tidak suka’ dengan Azrul Mahathir kerana beliau bekerja dengan sangat kuat demi rakyat dan membangkitkan keperluan-keperluan masyarakat DUN Bayan Lepas, cuma ada kalanya Kerajaan Negeri pun mempunyai dana terhad serta membantu kawasan-kawasan lain yang mungkin ada keperluan lebih mendesak,” selorohnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

 

Sementara itu, Azrul Mahathir menyatakan bahawa sebanyak RM300,000 akan dibelanjakan pada tahun ini bagi bayaran perunding untuk menyediakan reka bentuk dan dokumen tender.

 

 

Tambah beliau, dijangka RM3 juta akan disediakan pada tahun hadapan bagi kerja pembinaan, namun anggaran kos keseluruhan projek terbabit belum lagi ditentukan dan hanya akan diketahui apabila reka bentuk disediakan.

 

 

Antara isu lain yang turut dibangkitkan pada sesi pertemuan tersebut adalah projek pelebaran jalan dari Sungai Batu ke PUSPAKOM yang mana difahamkan sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

 

 

Selepas di Taman Sahabat, rombongan Kon Yeow dan Azrul Mahathir bergerak ke Kedai Kopi JC Heng Soon, Gertak Sanggul.