Projek pelebaran Jalan Han Chiang diharap atasi kesesakan

Admin

DATUK KERAMAT – Masalah kesesakan pada waktu puncak di Jalan Han Chiang harap dapat diatasi apabila kerja pelebaran jalan yang dirancang siap penghujung November depan.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nicholas Theng Jie Wey berkata, projek pelebaran jalan berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Han Chiang dijangka bermula pada awal Oktober depan dengan kos anggaran sebanyak RM15,000.

Jelasnya, keputusan Jawatankuasa Kecil Lalulintas (Kesesakan Sekolah) MBPP itu dibuat demi melincinkan aliran lalu lintas dan membolehkan para ibu bapa meletakkan kenderaan semasa menunggu para pelajar.

“Kita telah memutuskan supaya sebahagian jalan berkenaan akan dilebarkan kepada 20 kaki berbanding saiz asalnya hanya 16 kaki.

“Sebanyak 25 tempat (petak) meletak kenderaan akan disediakan di sepanjang 100 meter jalan ini bagi kegunaan ibu bapa pada waktu puncak mula dan sesi persekolahan.

“Jalan (Han Chiang) ini mengalami kesesakan walaupun sistem jalan sehala pada waktu tertentu telah dilaksanakan disebabkan daripada sikap ibu bapa yang meletakkan kenderaan di kedua-dua bahu jalan untuk menurun dan mengambil anak-anak mereka,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi jawatankuasa berkenaan pada sidang media berhadapan SJKC Han Chiang di sini pagi ini.

Hadir sama Jurutera Kanan Lalulintas dan Pengangkutan Awam MBPP, Zainuddin Mohamad Shariff dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Han Chiang.

Menurut Nicholas, pihak SJKC Han Chiang dan PIBG sekolah berkenaan turut mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan dengan menubuhkan satu kawalan warden lalu lintas.

“Kawalan oleh pasukan ini sedikit sebanyak telah berjaya mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan para pelajar sekolah.

“Kita (MBPP) menyeru sekolah-sekolah lain turut menjadikan SJKC Han Chiang sebagai contoh dengan mewujudkan kawalan warden lalu lintas,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata pengambilan dan pelantikan warden lalu lintas yang dibuat pihak sekolah adalah dengan kerjasama dan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Surat penurunan kuasa akan diberikan kepada warden lalu lintas, kemudian barulah mereka dilantik, sebelum itu mereka (warden) ini akan diberikan latihan oleh pihak PDRM.

“Malah, sekolah-sekolah lain turut digalakkan mengambil inisiatif sama dan pihak Majlis ada memperuntukan sejumlah RM100 tiap-tiap bulan kepada sekolah yang mempunyai warden lalu lintas ini,” ujarnya.