GEORGE TOWN – Dibina pada tahun 1803 Masihi, Masjid Benggali dekat Lebuh Leith serta masih dalam zon penampan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town merupakan antara bangunan warisan Kategori 1 yang ketika ini memang perlu dipelihara dan dipulihara lagi.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan mempertimbangkan memorandum permohonan Jawatankuasa Kariah Bangunan Masjid Benggali tersebut untuk mendapatkan peruntukan berkaitan dalam Belanjawan Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan demikian semasa berucap dalam Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Benggali di sini pada 7 Mei 2023.
“Ini kerana, memorandum permohonan berkaitan dikira melibatkan peruntukan luar jangka, maka, boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.
“(Penyerahan memorandum ini sekarang) adalah masa yang sesuai kerana sekarang adalah tempoh untuk memasukkan permohonan bagi Belanjawan (Pulau Pinang) 2024,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sambil merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau bagi tahun yang kedua ke majlis tersebut.
Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Benggali, Haji Zainul Azizden turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Imam Masjid Benggali, Ustaz Syed Mohamed serta beberapa wakil George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD