Projek pembangunan khas RM2.4 juta bantu kurangkan kesesakan trafik di Bukit Tambun

Admin

BUKIT TAMBUN – Lima projek pembangunan dan infrastruktur kecil awam bernilai RM2.4 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dapat meminimumkan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan Bukit Tambun.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, GOH CHOON AIK berkata kelulusan projek berkenaan adalah tepat pada masanya memandangkan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) kini berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal.

Goh Choon Aik.

“Saya sebagai bakal calon juga berharap agar projek lebih besar dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas ini secara lebih komprehensif dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Buletin Mutiara pagi tadi.

Choon Aik berkata, kelulusan projek-projek berkenaan juga membuktikan bahawa terdapat keperluan untuk adanya kerajaan yang sama pada peringkat Persekutuan dan negeri.

“Ini kerana permohonan menaik taraf jalan ini dipanjangkan sejurus selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan kerja-kerja penaiktarafan telah dijalankan pada awal tahun 2020 bagi fasa pertama.

“Namun kerja penaiktararan tertangguh selepas berlakunya Langkah Sheraton dan sepanjang dua tahun (sehingga 2022) langsung tidak ada khabar berita mengenai projek-orojek ini.

“Perkara ini kemudiannya diangkat semula ke peringkat Pusat selepas pilihan raya umum ke-15 dan pada 15 Julai lalu Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan bernilai RM2.4 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan projek berkenaan kini berada pada proses menyediakan sebut harga yang dibuka mulai 24 Julai (hari ini) dan akan berakhir pada 31 Julai 2023.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana telah membuat pecahan kepada projek kecil di bawah RM500,000 untuk memastikan projek ini boleh diuruskan secara sebut harga.

“Pecahan mengikut seksyen ini akan lebih memudahkan kerana selepas sahaja proses sebut harga ini, kerja-kerja menaik taraf dapat dimulakan lebih awal,” katanya lagi.

Berikut adalah lima projek infrastruktur kecil awam yang melibatkan pembiayaan Persekutuan di negeri Pulau Pinang tersebut:-

  • • Cadangan kerja-kerja pelebaran jalan, dedicated u-turn dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan Bukit Tambun (FT 149) – RM500,000;• Cadangan kerja-kerja menaik taraf persimpangan jalan dan lain-lain kerja berkaitan di Persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan (FT 149) – RM500,000;• Cadangan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar/hilang dan lain-lain kerja berkaitan di sepanjang Jalan Bukit Tambun (FT 149) dan Jalan Paboi – RM400,000;

    • Cadangan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar/hilang dan lain-lain kerja di Jalan Ipoh-Butterworth (FT 001) – RM500,000;

    • Cadangan kerja-kerja mengecat garisan jalan yang pudar/hilang dan lain-lain kerja di Jalan Transkerian – Jalan Bukit Panchor (FT 283) dan Jalan Trankrin (FT 282) – RM500,000.

Sementara itu, pemilik bengkel kenderaan, CHEAH WEI KIAN ketika ditemui Buletin Mutiara menyatakan bahawa penduduk projek tersebut amat penting untuk penduduk Bukit Tambun kerana terpaksa berdepan masalah kesesakan trafik hampir setiap hari.

“Diharapkan agar selepas siapnya projek ini kelak, kesesakan trafik di kawasan Bukit Tambun ini dapat dikurangkan.

“Sebenarnya kami sudah penat kerana setiap hari terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak setiap hari Isnin hingga Jumaat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan kerana telah meluluskan projek ini yang memberikan manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh seorang pekerja kilang, MOHD. KHAIRUL UMAM AZMI yang berharap agar kesesakan lalu lintas dapat diminimumkan apabila lima projek berkaitan siap kelak.

“Isu kesesakan lalu lintas terutamanya di Jalan Paboi (Bukit Tambun) semakin teruk dan menimbulkan rasa tidak selamat lebih-lebih lagi kepada penunggang motosikal.

“Selepas mendengar bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek penaiktarafan jalan di sini sudah pasti kami penduduk setempat berasa sangat lega.

“Walau bagaimanapun saya berharap Kerajaan Negeri boleh merangka projek yang lebih menyelesaikan isu trafik ini untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD