Projek pembangunan semula RMM Kampung Pisang Awak II dijangka mula secepat mungkin

Admin

SUNGAI PINANG – Projek pembangunan semula Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis C di Kampung Pisang Awak dekat sini dijangka akan dimulakan dalam waktu terdekat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, cadangan pembangunan semula membabitkan pembangunan RMM 38 tingkat dan 54 tingkat sebelum ini tidak dapat diteruskan ekoran beberapa faktor keselamatan.

“Justeru, Kerajaan Negeri memutuskan projek sebelum ini dirobohkan dan dibangunkan semula demi keselamatan semua pihak khasnya bakal penghuni.

“Fokus utama bagi pelaksanaan projek pada kali ini bukan sahaja selamat, malahan juga mempunyai kemudahan yang terkini.

“Setelah beberapa siri perbincangan, satu perjanjian telah dimeterai melibatkan persetujuan membangunkan semula RMM yang terbahagi kepada dua blok dan mempunyai sebanyak 1,245 buah unit serta berkeluasan 950 meter persegi setiap unit,” ujarnya semasa menghadiri sidang media bagi Projek Pengumuman Projek Pembangunan Semula Projek Perumahan Mampu Milik (RMM C) Kampung Pisang Awak II di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Barathi, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan bekas ADUN Batu Lanchang, Ong Ah Teong serta wakil-wakil dari JKP Jelutong Development Sdn. Bhd. selaku pemaju dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan pelan projek yang bakal dijalankan nanti.

Mengulas mengenai pemaju, Jagdeep memaklumkan bahawa pemaju sebelum ini masih dikekalkan dan hanya menukar orang yang bertanggungjawab (person in charge) sahaja.

“Bagi mengelak isu yang sama berulang, pihak pemaju (JKP Jelutong Development Sdn. Bhd.) telah menukar orang bertanggungjawab yang terlibat dalam projek sebelum ini telah digantikan dengan yang baharu, jadi tiada isu keselamatan yang akan dibangkitkan.

“Pihak saya dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) turut akan menjalankan pemantauan dan seliaan terhadap projek-projek yang dirancang, diluluskan serta dijalankan bagi memastikan gerak kerja mengikut tempoh yang ditetapkan,” tegasnya.

GAMBAR menunjukkan pelan projek yang bakal dibangunkan semula.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL