Projek pembesaran LTAPP disegerakan, respons Menteri

Admin
KETUA Menteri (kiri) dan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 1 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2023 Pusat pada 24 Februari lalu akan mula dilaksanakan dalam tahun ini juga, dengan pembiayaan pembangunan tidak melibatkan peruntukan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 1 Mac 2023.

“Sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri Ke-10 Malaysia), projek (pembesaran LTAPP) ini akan dilaksanakan dalam kadar yang cepat.

“Ini kerana, kita (Kerajaan Persekutuan) telah bersetuju bahawa pembiayaan pembangunan pembesaran LTAPP ini akan dibiayai oleh MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad), iaitu tidak memerlukan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Dato’ Seri Farizan Darus turut sertai sidang media tersebut.

Buletin Mutiara difahamkan LTAPP merupakan lapangan terbang ketiga paling sibuk di negara ini.

Memetik laporan statistik berwajib, Siew Fook memberitahu bahawa ketika ini lapangan terbang antarabangsa itu boleh menampung seramai 6.5 juta orang penumpang dalam setahun.

“LTAPP mula dinaik taraf pada tahun 2009 dan siap pada tahun 2013, tetapi pada tahun 2013 kapasitinya melebihi 6.5 juta (penumpang); tidak sampai enam tahun sebenarnya melebihi kapasiti (maksimum).

“Pada tahun 2019, iaitu sebelum (pandemik) COVID-19, LTAPP mencatatkan 8.3 juta penumpang setahun yang mana tahun 2020 dan 2021 menyaksikan jumlah penumpang merosot kerana COVID-19.

“Pada tahun 2022, menyaksikan jumlah penumpang kembali meningkat yang mana walaupun sempadan negara hanya dibuka pada bulan April, tetapi LTAPP merekodkan 4.27 juta penumpang.

“Sudah tentu kita (Kementerian Pengangkutan) menjangkakan jumlah penumpang di LTAPP ini meningkat lebih daripada kapasiti sedia ada (iaitu 6.6 juta penumpang setahun),” ujarnya sambil memberitahu bahwa Putrajaya semasa ini melihat ada keperluan mendesak untuk memperbesar LTAPP.

Menjawab soalan pemberita, Siew Fook memberitahu bahawa fasa pertama pembesaran LTAPP adalah tidak melibatkan pengambilan balik tanah sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Tidak membabitkan kerja-kerja pengambilan balik tanah, tidak melibatkan pemindahan tapak sebuah sekolah dan juga tambakan,” respons beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Fook turut menjelaskan bahawa buat masa ini Putrajaya tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak bukan kerajaan berwajib untuk mempertimbang cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim di negeri Kedah.

Terdahulu, Anwar di Dewan Rakyat turut mengumumkan langkah membesarkan Lapangan Terbang Subang, Selangor selain LTAPP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD