BAYAN LEPAS – Sehingga 15 Februari 2025, kerja-kerja fizikal bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah mencapai tahap kemajuan 31 peratus.
Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dalam satu lawatan tapak pada 27 Februari lalu.
Menurut Zairil, kerja-kerja pembesaran LTAPP tersebut terbahagi kepada tiga pakej kerja yang mana setiap pakej adalah untuk meningkatkan infrastruktur dan kapasiti operasi lapangan terbang tersebut.
“Pakej pertama yang kini giat dijalankan adalah melibatkan pembangunan kemudahan sokongan seperti bangunan pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM); menara kawalan trafik udara (ATC); Pos Kawalan Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC); substesen Jabatan Meteorologi Malaysia dan kemudahan – kemudahan lain.
“Projek ini (pakej pertama) telah dianugerahkan pada September 2024 dan kita jangkakan ia boleh siap pada bulan November tahun ini.
“(Dan) berdasarkan pemantuan pada hari ini (27 Februari) kemajuan projek ini adalah mengikut jadual yang ditetapkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB),” ujarnya usai lawatan tapak di sini.
Turut mengiringi beliau ialah Pengurus Kanan LTAPP, Mohd. Nadzim Hashim.
Mengulas mengenai pakej dua, Zairil memaklumkan bahawa ia akan melibatkan kemudahan penerbangan udara atau ‘air side facilities’ berhampiran terminal utama.
“Kerja-kerja permulaan akan bermula pada April 2025 yang mana skop kerja terlibat adalah seperti penurapan, menaik taraf saliran, lencongan utiliti, tambahan ruangan apron (aircraft parking bay) dan infrastruktur lain berkaitan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.
Bagi pakej tiga pula, Zairil memaklumkan bahawa fasa tersebut paling dinanti-nantikan kerana akan meliputi kerja-kerja menaik taraf di terminal sedia ada serta pembesaran terminal baharu.
“Seperti umum tahu bahawa masalah utama terminal sedia ada beroperasi dengan jumlah penumpang yang melebihi kapasiti.
“Saya dimaklumkan bahawa projek ini akan ditender pada bulan Mei ini dan ia akan melibatkan pembinaan terminal baharu dan pengubahsuaian terminal lama termasuk penambahbaikan reka bentuk dalaman.
“Terminal baharu itu dijangka dapat beroperasi menjelang tahun 2027 dan keseluruhan projek dijangkan akan siap pada tahun 2028,” katanya lagi.
Pada kesempatan sama, Zairil turut meninjau permasalahan berkaitan e-hailing di kawasan LTAPP hingga menimbulkan kesesakan.
LTAPP merupakan pintu masuk utama ke utara Semenanjung dan menduduki tempat kedua tersibuk dalam negara selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan mencatatkan 64,507 pergerakan pesawat pada tahun 2024.
Apabila siap kelak, ia akan mengukuhkan lagi peranan LTAPP sebagai hab penerbangan serantau penting.