Projek pembesaran LTAPP mula suku ketiga 2024, LRT suku pertama 2025 – Exco

Admin
06063318 39ad 4d1b a60b f65fe6444f83

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pembangunan bagi projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dianggarkan menelan belanja RM1 bilion akan bermula pada suku ketiga tahun 2024.

Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, skop kerja utama adalah meningkatkan kapasiti terminal semasa dari 6.5 juta penumpang setahun (mppa) ke 12mppa.

“Terdapat tiga pakej (bagi pemajuan projek ini) antaranya adalah pengalihan dan pembinaan semula bangunan yang terjejas, memanjangkan terminal, pembinaan menara kawalan baharu, pembinaan terminal baharu, ubah suai terminal sedia ada dan kerja-kerja utama lain.

“Matlamat utama adalah untuk melicinkan pengurusan penumpang di LTAPP termasuk penambahan kaunter daftar masuk, kaunter imigresen serta kaunter kastam yang mana projek dijangka siap dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya.

0376c46f 5057 4f5f 8366 11de02e29292


Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini pagi tadi.

Menyentuh mengenai isu trafik, Zairil memberitahu bahawa pada Mac 2024, pihak Malaysia Airlines Holding Berhad (MAHB) telah membentangkan pelan pembangunan dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta agensi berwajib.

“Antara yang dibincangkan adalah syarat-syarat meliputi Penilaian Impak Trafik (TIA) di sekitar kawasan tapak pemajuan dan hasilnya bagi jangka masa pendek lampu isyarat dipasang termasuk menyusurkan kenderaan dari Jalan Tun Dr. Awang ke Jalan Sultan Azlan Shah tanpa melalui bulatan.

“Bagi kenderaan yang ingin ke Teluk Kumbar boleh menggunakan persimpangan bertingkat pusingan-U di hadapan SJKC Chung Shan buat masa ini yang mana pada masa hadapan pusingan-U akan dibina di Jalan Tun Dr. Awang berdekatan bulatan sedia ada.

“Selain itu, bagi tindakan jangka panjang, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meletakkan syarat kepada perunding untuk melaksanakan kajian TIA terperinci dan mengangkat cadangan membina jejambat di laluan FT006 bermula dari Seksyen 13.2 sehingga Seksyen 15.8 Jalan Sultan Azlan Shah.

“(Dan) pembinaan underpass di Jalan Tun Dr. Awang menuju ke Lebuhraya Sungai Nibong,” ujarnya.

Dalam pada itu, berhubung projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara pula, Zairil memaklumkan bahawa pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pemaju telah memulakan proses perolehan untuk projek ini.

“Pemeriksaan awam untuk Segmen 2 iaitu dari Komtar ke Penang Sentral pula akan dilaksanakan pada suku keempat 2024.

“Manakala pemeriksaan awam bagi jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar tidak perlu dilaksanakan semula buat masa ini kerana ia adalah jajaran yang sama seperti yang telah ditentukan sebelum ini.

“Setelah proses perolehan dimuktamadkan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada suku pertama tahun 2025 dan pembukaan keseluruhan laluan dijangka pada tahun 2030 nanti,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD