GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa projek pembangunan Penang Art District yang dirancang oleh Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu bakal dimulakan pada tahun depan (2021).
Beliau berkata, projek yang bakal memberi manfaat kepada pencinta seni itu akan dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seluas sembilan ekar dekat Gat Lebuh Macallum.
“Idea mewujudkan Penang Art District dimulakan oleh mantan Ketua Menteri dan telah tergendala sejak beberapa tahun lalu.
“Pada masa itu, beberapa lokasi telah dipertimbangkan tetapi pada akhirnya Kerajaan Negeri memutuskan untuk membangunkan kawasan seni ini di Gat Lebuh Macallum,” katanya semasa merasmikan Pameran Koleksi Tetap Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP) dekat Dewan Sri Pinang di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Pengerusi BSLNPP, Lee Khai serta Naib Pengerusi BSLNPP, Datuk Dr. Tan Chee Khuan.
Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan untuk memulakan kerja-kerja awal rancangan pembangunan Penang Art District seperti menyediakan pelan dan sebagainya.
“Kerajaan Negeri berusaha memenuhi manifesto pilihan raya umum lalu termasuk mewujudkan Penang art District.
“Langkah ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan memungkiri janji yang dibuat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan penganjuran Pameran Koleksi Tetap sebagai platform terbaik untuk Lembaga Muzium dan BSLNPP terus mengorak langkah setaraf dengan muzium bertaraf antarabangsa yang lain.
“Namun kejayaan ini mungkin tidak dapat diraih tanpa adanya sifat dedikasi dan murah hati daripada Datuk Dr. Tan Chee Khuan (Chee Khuan) yang telah mendermakan sebanyak 330 buah karya milik beliau kepada BSLNPP untuk dijadikan koleksi tetap.
“Dengan pertambahan 330 karya ini, BSLNPP akan terus mara ke hadapan dengan menjadi sebuah institusi seni yang gah lagi disegani selain bakal menjadi rujukan serta kegiatan seni di rantau ini.
“Kesemua karya ini akan menjadi aset bernilai kepada Kerajaan Negeri terutama kepada BSLNPP,” ulasnya.
Dalam pada itu, Soon Hin menyatakan bahawa karya dermaan Chee Khuan bakal dimanfaatkan oleh para pencinta serta pengkaji seni dalam menambah ilmu pengetahuan, pengalaman selain dijadikan sebagai motivasi untuk terus maju.
“Melalui dermaan karya ini juga, ia akan melonjakkan nama BSLNPP sebagai antara institusi seni yang menghimpunkan karya-karya lengkap.
“Hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat ekonomi kreatif dan kegiatan seni terulung akan dapat dicapai jika institusi seni sentiasa berganding bahu bersama-sama pelukis serta pengumpul seni.
“Jalinan kerjasama yang utuh ini akan membuahkan hasil dan memberikan manfaat kepada semua masyarakat khususnya pada pencinta seni,” jelasnya.
Difahamkan, Pameran Koleksi Tetap BSNPP Pulau Pinang berlangsung mulai 2 hingga 30 November 2020 yang mempamerkan sebahagian karya dermaan Chee Khuan.
Pameran bakal berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengunjung yang hadir juga berpeluang memiliki sebuah monograf mendokumentasikan secara lengkap keseluruhan 330 karya yang didermakan pada harga RM50.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS