Projek Perintis BRG erat hubungan tetangga

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNBagi mengeratkan hubungan sesama tetangga dalam menjana semangat bersatu-padu, saling bantu-membantu dan gotong-royong dalam komuniti, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (Penang Women’s Development Corporation – PWDC) mengadakan usahasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pelaksanaan Projek Perintis Bajet Responsif Gender (BRG) di sini baru-baru ini.

Program komuniti yang meletakkan keutamaan kepada keperluan rakyat melalui strategi pemerkasaan dan inklusiviti di bawah Dasar Gender dan Advokasi PWDC telah dijalankan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang dan Flat PPR Ampangan, Ampang Jajar.

Kejayaan program yang turut membabitkan penganjuran kepelbagaian aktiviti termasuk senamrobik dan pameran korporat juga dijayakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail menyatakan bahawa program tersebut merupakan usahasama pintar di antara MPPP dan PWDC yang dilihat memberi impak padu dalam pembangunan setempat.

Dalam pada itu, Yang diPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif turut menyeru penduduk setempat supaya memberi kerjasama serta sokongan bukan sahaja kepada MPSP, malah, juga PWDC dalam menjayakan projek yang bakal dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun.

Program tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun di bahagian pulau Pulau Pinang. Turut hadir, Pengarah Projek Perintis BRG, Aloyah Bakar.

Di Ampang Jajar, Setiausaha Perbandaran MPSP, Rozali Mohamud; Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPSP, Mat Nasir Hassan dan Penolong beliau, Ahmad Syahrir Jaafar; Ketua Pengarah PWDC, Sri Husnaini Sofjan dan wakil Polis diRaja Malaysia, cawangan Seberang Perai Tengah, Inspektor Mohamad Illias Jamaluddin turut hadir sebagai dif-dif jemputan khas.