Projek PNBCAP bakal bantu Bayan Baru hadapi banjir kilat

Admin
whatsapp image 2024 06 04 at 1.29.41 pm

BAYAN LEPAS – Tiga projek di bawah Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semulajadi Pulau Pinang (PNBCAP) bernilai RM9.2 juta dijangka dapat membantu kawasan Bayan Baru menghadapi banjir kilat yang akan datang.

Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, projek yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.

“Program ini akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan Think City.

“Bayan Baru dipilih sebagai lokasi projek kerana kedudukannya yang berdekatan dengan laut serta terdedah kepada kejadian air pasang surut.

“Antara tiga projek yang bakal dijalankan adalah pemuliharaan koridor biru hijau sungai (Blue-Green Corridor), pembinaan kolam takungan banjir di bahagian hulu (Upstream Retention Pond, dan pembinaan komponen penyimpanan dan serapan air (Swale and Infiltration Wells),” kata beliau dalam sidang media PNBCAP dekat Amari SPICE di sini semalam.

Tambahnya, kebanyakan sistem perparitan di kawasan Bayan Baru adalah sistem perparitan lama yang tidak mampu menampung jumlah kapasiti air hujan yang tinggi, menyebabkan air di dalam sistem perparitan melimpah keluar dan menyebabkan banjir kilat.

“Selain itu, Sungai Keluang juga merupakan sungai utama di Bandar Bayan Baru dan lokasi sungai ini adalah strategik kerana berada di dalam kawasan penempatan penduduk yang padat.

“Jadi, bagi mengimbangi keperluan ini, model perancangan ruang hijau yang baharu diperlukan agar skala pembangunan selari dengan keperluan masyarakat terhadap ekosistem hijau,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

5ded9ccf 8c3c 41b2 89bb 042b8903e66b
Salah satu projek PNBCAP yang bakal dijalankan di Bayan Baru.

Pada 11 Mei 2024, JPS Pulau Pinang telah melaksanakan Program Libat Urus bersama Komuniti Lintang Nibong dan Komuniti Sungai Keluang untuk mendapatkan maklum balas serta memberi pemakluman kepada komuniti yang terlibat mengenai pelaksanaan projek fizikal ini.

Difahamkan seramai 60 penduduk telah terlibat dalam memberikan pendangan terhadap projek ini dan menunjukkan sokongan dalam usaha menjadikan Bayan Baru lebih tahan terhadap banjir kilat pada masa hadapan.

Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT