Projek PSR buka peluang pekerjaan untuk anak watan Pulau Pinang

PROJEK tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) yang berupaya menjadi ‘game changer’ (pembawa perubahan) bagi negeri ini, kini mula menawarkan peluang pekerjaan untuk anak watan, khasnya dalam kalangan nelayan tempatan serta ahli keluarga mereka.

 

 

Baru-baru ini, bertempat di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut, satu sesi temuduga terbuka diadakan. Lebih 100 individu hadir menyerahkan resume, malah ada juga pemohon dari negeri lain yang menyerahkan resume melalui emel.

 

 

Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd., Azmi Mohamad berkata, sesi temuduga terbuka tersebut diadakan selama lima jam bagi mencari calon yang paling sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan.

 

 

Syarat minimum adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pemohon yang memohon tidak perlu mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan kerana latihan akan disediakan kepada mereka yang berjaya.

 

“(Dan) melalui latihan itu pula, mereka sama ada memperoleh kemahiran baru atau meluaskan pengetahuan dan pengalaman kerja mereka,” ujarnya.

 

SESI temuduga terbuka yang diadakan ini turut menarik minat golongan belia tempatan untuk memohon.

 

Difahamkan, antara jawatan yang ditawarkan adalah pekerja am, jurumudi, pemantau marin, juruteknik makmal, pengawal keselamatan, penyelia tapak dan lain-lain jawatan berkaitan.

 

 

Mengulas lanjut, Azmi memaklumkan bahawa sesi temuduga terbuka itu adalah selaras dengan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan pembangunan PSR memberi manfaat kepada semua khasnya komuniti nelayan setempat.

 

Pihak kami (SRS Consortium Sdn. Bhd.) berharap program ini akan membuka mata orang setempat bahawa projek PSR telah memberi peluang pekerjaan kepada anak watan.

 

“Apabila projek tersebut dilaksanakan kelak, maka lebih banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan seiring dengan keperluan semasa,” katanya.

 

 

ABDUL Halim Hussain (berdiri) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pemohon yang menghadiri sesi temuduga terbuka baru-baru ini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung merangkap Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain antara yang hadir meninjau perjalanan sesi temuduga tersebut.

 

Sementara itu, bagi Mohd. Yusoff Awang Din, 62, ketika ditemui memberitahu bahawa dia mendapat tahu mengenai sesi temuduga terbuka itu melalui rakannya.

 

“Saya memang sebelum ini pernah bekerja dalam kerja-kerja bahagian laut dan mempunyai lesen membawa bot,” katanya yang telah setahun tidak mempunyai pekerjaan dek pandemik COVID-19.

 

Bagi Norpuzawati A. Wahid pula, dia menganggap peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui pelaksanaan projek PSR memberi harapan baharu untuknya kembali bekerja setelah berhenti kerja sejak lima tahun lalu bagi menjaga ibunya yang uzur.

 

“Saya mahu kembali bekerja, jadi saya datang untuk mencuba nasib.

 

 

“Saya berharap bolehlah diberikan peluang dengan pengalaman kerja yang saya ada sebelum ini dalam bidang perolehan dan pemasaran,” kata wanita berusia 38 itu.