Projek pulihara Bukit Bendera akan diperbincang, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi

AIR PUTIH – Sektor korporat swasta juga wajar dipelawa untuk kerja-kerja pemeliharaan serta pemuliharaan bangunan yang mempunyai nilai warisan di puncak Bukit Bendera supaya menggamit lebih ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing ke kawasan pelancongan tanah tinggi negeri itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kementeriannya sendiri akan turut mempertimbang beberapa perancangan masa depan yang dicadangkan oleh agensi negeri, Perbadanan Bukit Bendera (PHC) pada petang tadi.

“Sudah tentu Kerajaan Persekutuan begitu menyokong usaha-usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dalam mengembangkan potensi ekonomi negeri serta meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

“Saya akan bawa perkara (cadangan projek pemeliharaan Bukit Bendera) ini dengan Kementerian dan Kerajaan Negeri, melihat bagaimana Kerajaan Persekutuan boleh membantu Kerajaan Negeri,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat Bukit Bendera di sini pada 2 Ogos 2019.

Turut mengiringi, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu.

Selain itu, Mohamed Azmin turut menyokong kerja-kerja mengurangkan risiko tanah runtuh di puncak Bukit Bendera, yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan PHC.

Baginya, projek-projek berwajib tersebut penting demi memastikan keselamatan pelancong yang berkunjung ke sini terus terpelihara.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD