Projek ‘ramp’ Tanjong Asam harap manfaatkan penduduk

KETUA Menteri (dua dari kanan) diiringi Azrul Mahathir Aziz (tiga dari kanan) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (kanan sekali) mendapat taklimat ringkas mengenai tahap pemajuan projek pembinaan ‘ramp’ Tanjong Asam di sini pada petang tadi.

BAYAN LEPAS – Jelajah ❤️PENANG Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ke Parlimen Balik Pulau pada petang tadi (7 Ogos 2022) turut melawat tapak projek pembinaan ‘ramp’ bagi tujuan keselamatan dan menyelamat yang terletak di Tanjong Asam dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut sertai lawatan tersebut.

Buletin Mutiara difahamkan Mocopan Sent dilantik sebagai kontraktor utama projek bernilai RM100,000 tersebut, yang mana proses pembinaan kini mencapai 70 peratus dan dijangka siap pada hujung bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain turut merakamkan gambar kenang-kenangan di papan tanda ‘❤️PENANG’ di pantai Tanjong Asam di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD